KUALA LUMPU – Ringgit kemungkinan mengalami rintangan pada minggu hadapan dan akan didagangkan dalam lingkungan RM4.19 hingga RM4.21 berbanding dolar US, kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.
“Cabaran mungkin timbul jika Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan ini akan menyebabkan harga minyak menurun, yang kemudiannya, mempengaruhi ringgit,” kata beliau kepada Bernama.
OPEC mungkin mengadakan Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan bukan OPEC ke-20 pada 1 September ini.
“Sekiranya mesyuarat itu diadakan, para pelabur akan mengetahui reaksi OPEC terhadap kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengenai peningkatan pengeluaran minyak pengeluaran yang perlu dibuat bagi menstabilkan harga petrol,” katanya.
Sementara itu, Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz menjelaskan penerimaan istana terhadap senarai menteri yang dikemukakan oleh Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan sedikit rangsangan kepada situasi politik di Malaysia, yang dilanda ketidakpastian sejak peletakan jawatan perdana menteri sebelumnya.
“Pada sisi negatif, Malaysia mencapai tahap baharu jangkitan COVID-19 (pada Khamis, sejumlah 24.599 kes) dan ini mungkin akan menjadi pemacu utama kepada penurunan ringgit.
“Daripada sudut teknikal, ringgit mungkin terus jatuh ke arah 4.1750 berbanding dolar US, yang mana kemungkinan ia akan menerima tahap sokongan yang kuat,” katanya.
Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit mengukuh sepanjang minggu ini susulan pembaharuan keyakinan pelabur berikutan perkembangan politik terkini di Malaysia.
Semalam, Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinetnya, yang dibentuk selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional, meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos lepas.
Selain Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mengekalkan jawatan sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga kekal sebagai Menteri Kanan serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Datuk Seri Mustapa Mohamed tetap sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin telah dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, menggantikan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, sementara Tan Sri Noh Omar akan membantu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menggantikan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Kementerian Kesihatan melaporkan semalam, 22,070 kes COVID-19 baharu telah dilaporkan dan 339 kematian dalam 24 jam sebelumnya termasuk 21,877 pemulihan. Ini menjadikan jumlah jangkitan terkumpul kepada 1,662,913 kes.
Secara mingguan, ringgit berada pada 4.1890/1930 berbanding dolar US semalam daripada 4.2380/ 2400 yang dicatatkan pada minggu sebelum ini.
Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain daripada minggu sebelumnya.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1009/1041 daripada 3.1070/1087 dan naik berbanding pound British kepada 5.7427/7482 daripada 5.7709/7736.
Ringgit menokok berbanding euro kepada 4.9254/9301 daripada 4.9474/9498 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8044/8084 daripada 3.8654/8676. – MalaysiaGazette