BERA – Pemilik-pemilik kilang perlu menyediakan tempat vaksin di kilang sendiri kepada pekerja asing bagi mengelak mereka berkumpul di Pusat pemeberian Vaksin (PPV) sehingga mencetuskan kebimbangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah dibawa dalam perbincangan bagi menangani isu lambakan warga asing di PPV Bukit Jalil tempoh hari.
“Saya sudah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan supaya kilang-kilang tempat pekerja asing bekerja dijadikan tempat memberi vaksin.
“Oleh itu, pekerja-pekerja kilang tidak perlu keluar atau beratur di mana-mana PPV,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kem Batu Bor, dekat sini.
Jelas beliau, kilang-kilang boleh membeli vaksin sendiri dengan cepat memandangkan harga vaksin tidak terlalu mahal berbanding kerugian yang ditanggung.
Tambah Ismail Sabri, inisiatif membeli vaksin sendiri dan menyediakan pusat vaksinasi sendiri adalah lebih baik daripada membiarkan pekerja-pekerja asing berkumpul, sekali gus mecegah wabak dariapda terus merebak.
Jelasnya, mana-mana pekerja kilang yang sudah mencapai lebih 80 peratus imuniti kelompok dibenarkan operasi semula.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keperluan vaksin secara pandu lalu juga akan dipertingkatkan dalam masa terdekat.
Ini kerana, kaedah tersebut tidak melibatkan kos yang tinggi, selain menyediakan khemah dan memudahkan pengurusan penerimaan vaksin.
”Tidak perlu beratur, menerima suntikan dan tunggu 15 minit dalam kereta, lebih mudah,” ujarnya.
Kata beliau, kaedah pemberian vaksin itu dilaksanakan dalam kalangan barisan hadapan seperti anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana lebih mudah, cepat dan efisien. – MalaysiaGazette
wow…good moves la PM