Home Nasional Pengawal keselamatan diserang video lama

Pengawal keselamatan diserang video lama

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

KUALA LUMPUR –  Polis mengesahkan video tular yang memaparkan seorang pengawal keselamatan diserang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di Ipoh, Perak adalah video lama yang dirakamkan pada hujung tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil semakan mendapati insiden berkenaan berlaku pada 29 Disember lalu dan kertas siasatan mengenai kejadian tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah.

Bagaimanapun, katanya, pengawal keselamatan itu telah meninggal dunia di rumahnya Jumaat lalu dan laporan bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan mangsa mati akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Bagaimanapun, kata Mior Faridalathrash, kejadian ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa dengan mendakwa punca kematian adalah disebabkan dipukul dan bertindak menularkan rakaman serta gambar kejadian itu tahun lalu.

Hasil siasatan polis mengenai kejadian serangan itu sebelum ini berpunca daripada tindakan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa menghalang anak suspek menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

Kes tersebut dijadualkan disebut semula di Mahkamah Majistret Ipoh pada 9 September depan bagi menetapkan hukuman

Namun katanya, berdasarkan keterangan baharu ini polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan selanjutnya. – MalaysiaGazette