KUALA LUMPUR – Kerjasama di antara parti Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan tidak akan berhasil selagi pihak kerajaan tidak menghormati atau menerima pandangan yang diberikan oleh PH.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang menyifatkan tiada perbezaan antara Kabinet sebelum ini dengan sekarang berkata, ia akan menyebabkan cadangan yang dikemukakan PH khususnya yang berkaitan dengan pandemik Covid-19 tidak akan diambil perhatian.
Beliau mendakwa, kerjasama yang diharapkan bersama PH hanyalah sekadar nama sahaja.
Katanya, PH akan tetap bersama rakyat dalam menangani pandemik Covid-19 walaupun cadangan yang dikemukakan sebelum ini tidak diberi perhatian.
“PH akan berjuang demi kesejahteraan rakyat yang kini semakin menderita akibat kesan ekonomi yang begitu lama merudum,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Mersing semalam.
Menurut Abdullah, pembangkang sering dimomokkan gila jawatan namun hakikatnya apa yang diutarakan pihaknya ialah tanggungjawab menteri yang telah laksanakan. – MalaysiaGazette