Home Nasional 61% setuju BR1M beri impak bantu rakyat

61% setuju BR1M beri impak bantu rakyat

KUALA LUMPUR – Satu kaji selidik yang dijalankan oleh badan bebas, Kaji Data menunjukkan sebanyak 61.4 peratus orang ramai bersetuju Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) memberi impak membantu kelompok rakyat yang memerlukannya.

PERINGKAT awal pembayaran BR1M dibuat secara tunai, selepas penambahbaikan bayaran dimasukkan ke akaun penerima yang layak. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM.

Kajian yang dilakukan menerusi telefon itu melibatkan seramai 1,047 orang yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

Kajian itu dijalankan sekitar 13 Jun hingga 22 Jun lalu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 99.3 peratus responden yang dihubungi mengatakan mereka mengetahui mengenai  BR1M yang diperkenalkan oleh kerajaan.

BR1M merupakan salah satu daripada beberapa skim bantuan lain diperkenalkan oleh kerajaan  membantu meringankan beban rakyat yang berdepan kos sara hidup saban hari.

Selain BR1M, skim-skim lain yang diperkenalkan adalah Bantuan Buku 1Malaysia, Back to School Initiative, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia, Bantuan Lesen 1Malaysia, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Teksi 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Penasihat Kaji Data Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, separuh daripada responden percaya semua produk dan bantuan diperkenalkan oleh kerajaan memberi impak kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Sementara itu, hanya 27 peratus merasakan sebaliknya.

Gagasan 1Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2 April 2009 sejurus beliau dilantik mengetuai kerajaan bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Lanjutan daripada tu, Najib memperkenalkan produk berasaskan 1Malaysia yang mendapat sambutan hebat masyarakat tetapi seringkali diperlekeh pembangkang.

Laporan penuh kajian boleh dibaca di sini– MalaysiaGazette