Home Pendapat Cabaran rumahtangga dalam pandemik: Kebangkitan wanita masa kini

Cabaran rumahtangga dalam pandemik: Kebangkitan wanita masa kini

Isu keganasan rumah tangga ibarat masalah tidak berpenghujung.- Gambar hiasan.

PANDEMIK COVID-19 yang melanda negara kita melihat pelbagai mehnah dan tribulasi
terhadap segenap lapisan masyarakat, termasuklah kaum wanita. Golongan wanita yang
sering dikaitkan dengan kelemahan dan sentiasa dianggap kelas kedua selepas kaum lelaki bukan sahaja terhad kepada sesuatu bangsa atau agama malahan ia merupakan persepsi yang global.

Di peringkat antarabangsa, Hari Wanita Sedunia turut disambut pada 8 Mac saban
tahun bagi membawa segenap lapisan masyarakat ke arah mengenali dan membuat perubahan kepada pandangan masyarakat terhadap kedudukan kaum wanita. ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, tema Hari Wanita Kebangsaan pada tahun ini membawa kita ke suatu anjakan paradigma yang menyaksikan kaum wanita mula bangkit memenuhi pelbagai ruangan yang ditinggalkan di dalam ruang lingkup masyarakat.

Kaum wanita turut sama berganding bahu dari segenap portfolio pentadbiran negara sehingga ke pentadbiran rumah tangga, masing-masing memegang tugas yang amat penting. Malangnya, penindasan kaum wanita masih berlaku di negara ini dengan kadar yang masih membimbangkan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak bulan Mac 2020 menyaksikan peningkatan penderaan di kalangan suri rumah tangga dan kanak-kanak.

Kemungkinan ia berpunca daripada tekanan yang melanda disebabkan faktor ekonomi, sosial mahupun ketegangan yang memang sudah sedia ada berlaku di dalam rumah tangga tersebut itu sendiri. Apa pun alasannya, ia bukanlah ‘lampu hijau’ bagi wanita untuk terus menerus ditindas dalam kehidupan di zaman teknologi ini.

Satu demi satu kes penderaan dan tidak kurang juga kes kematian akibat penderaan dipaparkan di dada akhbar. Sungguh menyedihkan apabila kaum wanita ini yang kebanyakannya terdiri daripada ibu yang mempunyai anak-anak kecil terpaksa berhadapan dengan suami yang mengganas dan berang sehingga akhirnya mengorbankan diri mereka sendiri. Apalah yang akan terjadi kepada nasib anak-anak yang masih dahagakan kasih sayang seorang ibu?

Tidak dinafikan, penggunaan teknologi dan media sosial yang semakin berkembang
di kalangan ramai wanita telah mengumpulkan mereka yang terperangkap di dalam kemelut rumah tangga sebegini untuk mencari jalan keluar daripada belenggu kehidupan. Pertemuan secara maya, sokongan daripada ahli masyarakat dan profesional membolehkan mereka untuk mencari sekelumit kekuatan dalam ketidak upayaan mereka.

Pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan turut berganding bahu dan menyediakan pelbagai platform yang menempatkan pakar dari pelbagai bidang untuk membantu golongan ini sebelum keadaan menjadi bertambah buruk. Diharapkan dengan adanya kolaborasi di antara pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta individu termasuk profesional yang berkaitan dapat membantu golongan wanita terutamanya mereka yang tertindas ini untuk bangkit daripada ditindas.

Cabaran yang menanti mereka sekiranya mereka keluar daripada kemelut rumahtangga
mungkin tidak diketahui, namun sekurang-kurangnya mereka tidak lagi terpaksa berhadapan dengan insan yang sepatutnya melindungi mereka tetapi memperlakukan sewenangnya tanpa belas kasihan.

Wanita perlu bangkit dalam kehidupan ini terutamanya dalam menghadapi kehidupan
yang penuh dengan pancaroba ini. Masalah keganasan rumah tangga, masalah ekonomi,
masalah gejala sosial dan masalah pembelajaran dan pengajaran di rumah bersama-sama
anak- anak juga perlu dititik beratkan.

Seorang wanita perlu melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dalam apa jua cabaran yang diperolehi. Sifat kelembutan yang ada pada wanita bukanlah satu halangan untuk terus mara ke hadapan malah di sebalik kelembutan itu tersimpan kekuatan yang utuh dan bersemangat waja. Wanita perlu bangkit menggoncang dunia bagi membentuk generasi yang gemilang, terbilang dan diredai Allah.

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW
pernah bersabda: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏ Riwayat Muslim (715). Jadilah wanita solehah yang menyejukkan hati suami, menjaga anak-anak dan keluarga dengan sebaiknya dan peliharalah hubungan dengan Allah, nescaya amanlah dunia ini. Wallahualam.

Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
SU Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK),
Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)

&

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi,
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia.