TERPANCUL rasa ikhlas dan amatan serius dari YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu penulisannya di akhbar Berita Harian pada 26 Ogos 2021 (Khamis) membawa tajuk “Menerapkan konsep keluarga dalam politik, perangi pandemik”.
Pada penelitian saya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu bertindak tepat dan wajar dengan
menepiskan ego demi memastikan kehidupan massa makin baik dari hari ke hari. Frasa ‘new realism’ (kesedaran hakikat) yang dipetik dari ungkapan bekas Perdana Menteri,
Almarhum Tun Abdul Razak Hussein sekitar tahun 1972 suatu perkara yang tepat pada
waktunya.
Apa yang dimaksudkan dengan ‘new realism’ seperti yang Reezal Merican ketengahkan itu? Dalam bahasa mudahnya, ia suatu ajakan kepada para pemain politik tanah air supaya bersedia untuk melakukan perubahan dari amalan lama kepada suatu konsep baharu.
Para ahli politik wajar mempunyai kesedaran hakikat bahawa alam ini telah berubah.
Kemajuan teknologi kian bertambah pesat. Sensitiviti masyarakat juga makin menjadi-jadi. Malah, pemikiran para pengundi juga tidak lagi seacuan dahulu.
Seperkara lagi yang menarik minat saya adalah pesanan Reezal Merican bahawa konsep
politik masa kini tidak lagi memerlukan penciptaan hasad dengki dan kesumat – atas
landasan kekalahan dan kerisauan peribadi. Nak taknak, kita semua harus lebih berjiwa besar dan terima kesedaran hakikat bahawa cara berpolitik kaedah lama akan lenyap dan tidak lagi membawa keuntungan kepada parti, kuasa dan rakyat.
Konsep “Keluarga Malaysia” seperti yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail
Sabri benar-benar mencerminkan bagaimana ‘kesedaran hakikat’ ini boleh diadaptasi di
negara ini mulai sekarang. Ya benar kita setuju bahawa parti lebih besar daripada mana-mana individu. Namun moleklah masing-masing gunalah sifir sama untuk melihat kelemahan dan kekhilafan diri sendiri.
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan
bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61). Semakin ahli-ahli politik berjiwa besar dan melakukan ‘kesedaran hakikat’ ini, semakin bertambah-tambah rasa suka dan gembira rakyat di bawah.
Adakah kita fikir dengan terus mendesak untuk keabsahan dan menganggu urusan kerja
kerajaan maka rakyat kebanyakan di bawah berasa senang dan tenang? Oleh sebab itu benarlah seperti yang dikatakan oleh Reezal Merican bahawa kerangka politik wajar menjadi ruang memuliakan persahabatan dan kerjasama.
Tidak meninggalkan sahabat ketika susah, dalam masa sama tidak mensabotaj watan kerana hati menjadi rentan. Tidak menghina dan memperkecilkan peranan yang boleh diisi teman di denai politik berlainan.
Bila nak mula? Pada pandangan saya, inilah masanya yang paling sesuai untuk para ahli
politik buktikan bahawa diri sendiri berpegang kepada politik matang yang tulen lagi jitu.
Bukan masanya lagi untuk terus bermain wayang dan hipokrasi di sana sini, sedangkan di
tulang hitam seseorang itu lain pula wataknya.
Mulai hari ini, berilah segunung harapan sebenar buat rakyat di bawah yang mengharapkan perubahan dan kejayaan dalam kualiti kehidupan kita seharian. Mulakan kejayaan ‘Keluarga Malaysia’ ini daripada langkah politik yang bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat melebihi lain-lain perkara.
Percayalah, parti mana yang mampu melakukan perkara ini, merekalah yang bakal
menerima undi dan sokongan terbanyak pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mendatang.
Sarfarizmal Md Saad
Kelab Belia Inspirasi Malaysia