ISKANDAR PUTERI – Seorang penjawat awam antara 13 individu yang dicekup ketika asyik berhibur dalam parti persendirian sebuah unit Pangsapuri Medini, di sini pagi tadi.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita yang berusia antara 17 hingga 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan itu dilakukan jam 4 pagi tadi hasil risikan.
Parti persendirian ini dipercayai bermula 9 malam Sabtu lalu dan berakhir pagi tadi.
Dzulkhairi berkata, penganjur parti telah mengajak suspek-suspek yang terlibat melalui aplikasi whatsapp.
Hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati sembilan lelaki dan dua perempuan yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Bagaimanapun tiada dadah ditemui di pangsapuri itu.
Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas sebuah set pembesar suara dan alat pemancar cahaya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah melakukan kesalahan dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Pelan Pemulihan Negara (PPN 2021).
Dzulkhairi berkata, hasil semakan mendapati dua daripada kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod orang dikehendaki bagi kesalahan berkaitan dadah.- MalaysiaGazette