Home Nasional PM ucap takziah atas pemergian Tun Sakaran

PM ucap takziah atas pemergian Tun Sakaran

Tun Sakaran Dandai dies of Covid-19
Tun Sakaran Dandai

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah atas permergian bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai.

Ismail Sabri berkata, pemergian Sakaran satu kehilangan tokoh yang amat disegani di negara ini.

“Saya merasa amat dukacita apabila mendengar berita tentang pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai pada jam 6 pagi tadi.

“Allahyarham telah memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah, merangkumi pelbagai aspek terutama sosioekonomi,” ucap beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut merakamkan ucapan takziah diatas pemergian Tun Sakaran.

Menurutnya, Sakaran adalah seorang tokoh yang sangat berjasa khususnya bagi Negeri Sabah.

“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun, bekas Tuan Yang Terutama Sabah terutama kepada isteri beliau, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Siti Rukaiyah Abdullah atas pemergian suami beliau. Jasa Tun kepada Sabah amat besar. Moga roh dicucuri rahmat.

“Jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Sakaran sama ada dalam politik, pentadbiran dan agama amat besar nilai dan maknanya untuk negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Sakaran pernah memegang jawatan bekas Ketua Menteri Sabah dan bekas Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Beliau juga adalah Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang pertama dan pernah dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H Peringkat Kebangsaan.

Sakaran Dandai disahkan meninggal dunia susulan dijangkiti Covid-19.

Allahyarham berasal dari Semporna, berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002.

Beliau sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah ke-8 pada 1994. – MalaysiaGazette