GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan keseluruhan atau 100 peratus populasi penduduk berusia 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada awal September ini, kata Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
“Bagi mencapai sasaran kejayaan program itu, bekalan vaksin yang mencukupi adalah amat penting. Sehingga 26 Ogos lalu, seramai 1.101 juta penduduk Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin iaitu bersamaan dengan 62.1 peratus populasi penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-14 di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fuzi memberitahu, seramai 1.10 juta atau 62.1 peratus penduduk Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menurutnya, daripada jumlah itu, lebih 711,454 orang telah lengkap dua dos vaksin iaitu bersamaan dengan 40.1 peratus populasi penduduk.
Mengulas lanjut, Ahmad Fuzi berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM176.45 juta sehingga 17 Ogos lalu melalui pemberian Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan Covid-19).
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM149.61 juta telah disalurkan kepada penerima yang berkelayakan.
“Pakej bantuan itu diberikan sejurus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pertama iaitu mulai bulan Mac tahun 2020 sehingga kini,” ujar Ahmad Fuzi. – MalaysiaGazette