KUALA LUMPUR – Lebih 590 individu menjadi mangsa penipuan pembelian barangan elektronik yang kononnya dari luar negara dan dijual secara atas talian.
Kesemua mangsa mengalami kerugian berjumlah RM950,000 sejak tahun lalu, kata Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PBSM), Yusuf Azmi.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 207 mangsa telah membuat laporan polis dengan jumlah kerugian kira-kira RM33,000.
Beliau berkata modus operandi yang dijalankan menerusi akaun Instagram yang mempunyai hampir 200,000 pengikut untuk meyakinkan mangsa dan memberi diskaun sehingga 75 peratus menjadikan produk itu lebih murah daripada harga pasaran.
“Sebelum ini, kita dengar individu selalu menjadi mangsa pelaburan namun kali ini dikejutkan dengan satu tawaran penipuan pembelian barangan elektronik seperti televisyen, mesin basuh, peti ais, penghawa dingin dan cerek eletrik.
Difahamkan sindiket berkenaan mengambil kesempatan ketika situasi pandemik Covid-19 memandangkan negara masih dalamn perintah kawalan pergerakan dan ramai orang gemar membeli barang secara dalam talian,”katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Yusuf, mangsa ditawarkan barangan berjenama dan selepas membuat bayaran, barangan tersebut tidak dihantar pada tarikh yang ditetapkan malah pembayaran mesti dilakukan pada akaun peribadi penjual.
“Selepas itu, pemilik akaun Instagram itu akan memberi pelbagai alasan untuk menangguh penghantaran pada mangsa seperti masalah permit melibatkan kastam kerana diimport dari luar negara,” ujarnya.
Dakwa Yusuf lagi, dalang yang menjalankan penipuan atas talian itu bersubahat dengan ahli keluarganya sendiri termasuklah ibu, anak, suami dan adik beradiknya yang lain.
Pelaku juga didakwa mempunyai rekod jenayah lampau berkait dengan kes ini.
Sementara itu, seorang mangsa yang juga pekerja swasta, Nafisz Daniel Abd Rahim dan suri rumah, Zahirah Abdul Mutalib yang menjadi mangsa sindiket berkenaan juga hadir pada sidang media yang sama.
Mangsa penipuan, Nafis Danial Abdul Rahim. Foto MOHD ADZLAN, 30 OGOS 2021.Nafisz Daniel mengalami kerugian sebanyak RM1,709 selepas membeli set periuk dan penghawa dingin menerusi akaun Instagram pada Mei lalu dan sehingga kini produk berkenaan masih tidak diterimanya.
“Saya telah membuat sebanyak tiga kali pembayaran secara ansuran kepada indvidu berkenaan, dan bayaran keempat saya tidak membuat kerana saya tejumpa satu posting di Facebook berkait dengan individu ini dan terus membuat laporan polis.
“Melalui info saya dapat pemilik akaun Instagram itu telah menipu ramai orang dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai penipuan antaranya makanan kucing dan kosmetik selain tawaran pakej umrah,” katanya.
Zahira yang merupakan suri rumah mengalami kerugian lebih RM3,000 selepas membuat pesanan pembelian television dan juga dua biji seterika.
“Saya dapat tahu ia satu penipuan apabila barangan saya dari Pulau Pinang dihantar lambat sepatutnya paling lama seminggu dan barang luar negara pula dijanjikan dua bulan namun pelbagai alasan diberikan penghantaran terganggu akibat PKP dan juga sekatan kastam.
“Kemudian, minta nombor penjejakan untuk pesanan saya namun tidak diberikan dan dari situ telah membuatkan saya curiga dan membuat siasatan di Facebook, rupayan ramai yang telah menjadi mangsa penipuan dan saya terus bertindak membuat laporan polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette.