Home Ekonomi 100 rumah dirobohkan untuk bina landasan HSR

100 rumah dirobohkan untuk bina landasan HSR

Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar hiasan.

SEREMBAN – Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan memberi jaminan hanya 100 rumah akan dirobohkan bagi memberi laluan pembinaan landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Beliau berkata, mengikut pelan asal, sebanyak 1,000 buah rumah dijangka terjejas dengan pembinaan landasan HSR.

“Ini merupakan keputusan yang terbaik dibuat setelah beberapa kali pindahan pelan pembinaan untuk jajaran ini dilakukan.

“Untuk jajaran baharu ini, stesen HSR akan dibina di Labu, berdekatan Padang Golf Kota Seri Emas, berbanding sebelum ini dirancang dibina di Seremban,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Mohamad berkata jajaran baharu juga akan memendekkan jarak landasan menjadi 51 kilometer berbanding 54 kilometer sebelum ini.

“Selain itu, terowong sepanjang satu kilometer akan dibina di sepanjang laluan landasan ini.

“Kita juga akan menghubungkan jalan dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) terus ke stesen HSR di Labu bagi tujuan memudahkan pengguna di masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette