BRUSSELS – Majlis Kesatuan Eropah (EU) mengesyorkan agar negara anggota Kesatuan Eropah (EU) memperkenalkan semula sekatan untuk pelancong dari Amerika Syarikat (AS) ekoran lonjakan jangkitan CovidD-19 di negara itu.
Keputusan itu diumumkan oleh majlis tersebut melalui kenyataan, menarik balik keputusan yang diambil pada bulan Jun ketika blok itu meletakkan AS dalam senarai perjalanan selamat untuk cuti musim panas.
Sejak seminggu lalu, AS. melaporkan sejumlah 977,947 kes jangkitan Covid-19 dengan 7,394 kematian, yang paling teruk di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Selain AS, Majlis juga mengeluarkan Israel, Lubnan, Montenegro, Macedonia Utara dan Kosovo dari senarai negara dan wilayah selamat untuk perjalanan yang tidak penting.
Syor ini tidak mengikat tetapi pelancong dari negara dan wilayah ini akan menghadapi pemeriksaan dan sekatan yang lebih ketat ketika mereka melakukan perjalanan ke EU, termasuk kuarantin wajib.
“Ini tanpa menjejaskan kemungkinan bagi negara-negara anggota untuk menarik sekatan sementara perjalanan tidak penting ke EU untuk pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya,” tambah majlis.
Kriteria EU untuk menentukan negara ketiga yang mana sekatan perjalanan harus ditarik semula meliputi situasi epidemiologi dan tindak balas keseluruhan terhadap Covid-19, serta kebolehpercayaan sumber maklumat dan data yang ada.
Sikap timbal balik juga diambil kira berdasarkan kes demi kes.
Dalam senarai perjalanan selamat terkini ialah Albania, Armenia, Australia, Azerbaijan, Bosnia dan Hercegovina, Brunei Darussalam, Kanada, Jepun, Jordan, New Zealand, Qatar, Moldova, Arab Saudi, Serbia, Singapura, Korea Selatan, Ukraine dan China (tertakluk kepada pengesahan timbal balik). – Xinhua