JOHOR BAHRU – Aplikasi media dalam talian memberi peluang kepada orang ramai untuk meluahkan semangat kecintaan kepada negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 hari ini.
Malah penularan Covid-19 bukan penghalang untuk mereka meraikannya.
Bagi suri rumah, Zynab Hassan, 33, mengambil kesempatan menggunakan aplikasi TikTok untuk memeriahkan sambutan itu di rumahnya.
Menurutnya, video yang dirakam itu dapat menggembirakan anak-anaknya yang tidak dapat melihat sambutan Hari Kemerdekaan di depan mata seperti sebelum ini.
Katanya, kandungan video yang digunakannya itu ringkas dan mudah difahami anak-anaknya.
Beliau memilih menggunakan aplikasi untuk meraikan Hari Kebangsaan berikutan penularan Covid-19 yang mana kanak-kanak tidak digalak berada di luar rumah.
Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah memilih cara menarik untuk memahamkan mereka tentang kemerdekaan negara.
“Kita sebagai ibu bapa perlu menjadi pendidik utama memberi pendedahan apa itu kemerdekaan tetapi dengan cara dan batas-batas. Umpamanya bukan hari-hari kita ‘sogokan’ mereka dengan gajet,” katanya.
Menurut ibu muda itu, jika dahulu guru-guru yang selalu menerapkan kesedaran kemerdekaan tetapi pada pada hari ini, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab dalam memupuk rasa cintakan negara dalam kalangan anak-anak. – MalaysiaGazette