KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju untuk menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Bajet 2022 sebagai salah satu usaha menambah baik proses penyediaan bajet tahunan.
Ini merupakan KPB yang pertama dalam sejarah negara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah ini bertepatan dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
KPB diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan, serta membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara, terutamanya dalam kalangan pelabur.
Melalui penerbitan KPB, rakyat berpeluang meneliti beberapa penanda aras termasuk:
a. Tinjauan ekonomi berdasarkan kepada senario ekonomi global, semakan ke atas prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar dan unjuran ekonomi bagi tahun 2022 serta sasaran fiskal untuk 2021/2022;
b. Status prestasi hasil percukaian dan inisiatif cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2021. Dokumen KPB juga meliputi pengurusan ketirisan hasil, komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa serta strategi meningkatkan hasil dan memantapkan sistem percukaian; dan
c. Status perbelanjaan 2021 dan faktor-faktor dalam mengoptimum dan mengawal perbelanjaan.
Menurutnya, KPB juga memberi gambaran awal berkenaan hala tuju, pendekatan yang diambil serta manfaat yang bakal dinikmati daripada Bajet 2022, yang akan dirangka berdasarkan matlamat berikut:
a. Melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian: Bajet 2022 akan meneruskan usaha pemulihan dalam memastikan negara berjaya keluar daripada kemelut pandemik COVID-19, serta meneruskan agenda memulih kehidupan dan sektor ekonomi yang terjejas pasca-pandemik. Usaha juga akan digembleng bagi membantu golongan rentan dan mencipta peluang pekerjaan baharu;
b. Membina semula daya ketahanan negara: Bajet 2022 akan memberi penekanan kepada usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara, mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi terutamanya dalam sektor pendidikan dan menyediakan keperluan untuk negara beralih kepada sektor industri yang mempunyai produktiviti tinggi berasaskan teknologi automasi dan kemahiran tinggi.
c. Memangkin pembaharuan: Bajet 2022 akan memastikan langkah pembaharuan dilaksanakan dengan memberi penumpuan kepada pencapaian Sustainable Development Goals (SDG), RMKe-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Tengku Zafrul berkata, MOF yakin bahawa penerbitan KPB akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing ke arah perangkaan sebuah bajet yang memenuhi keperluan rakyat, serta selaras dengan dasar dan objektif negara. – MalaysiaGazette