KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbakar dalam satu kejadian di Kilometer 407 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Lembah Beringin – Tanjong Malim hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.14 petang.
Menurut Hafisham, seramai lapan anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa dan BBP Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Ssangyong yang terbakar 100 peratus.
“Kereta yang dipandu oleh seorang lelaki itu dipercayai terbabas sebelum melanggar sebuah lori dan penghadang sisi jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Hafisham lagi, mangsa tersepit akibat kemalangan dan tidak dapat dikeluarkan.
“Status mangsa sebelum kemalangan juga tidak dapat dipastikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette