Home Nasional Dewan perniagaan rayu DBKK pertimbang guna kaki lima untuk ‘dine-in’

Dewan perniagaan rayu DBKK pertimbang guna kaki lima untuk ‘dine-in’

KOTA KINABALU – Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) merayu kepada kerajaan negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid Negeri Sabah agar mempertimbangkan semula larangan penggunaan kaki lima dan ruang legar restoran untuk aktiviti dine-in.

Timbalan Pengerusi DPMS, Darul Nazli Dahalan berkata, banyak pemilik restoran di sekitar kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima kompaun sehingga RM10,000 kerana meletakkan meja kerusi di luar premis sedangkan mereka menyewa kawasan tersebut daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak pengurusan dilantik.

Pemilik restoran keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) yang mana meja dan kerusi makan hendaklah dihadkan dalam premis sahaja.

Bagi peniaga restoran, kawasan kaki lima dan ruang legar juga adalah sebahagian daripada premis mereka.

Darul Nazli Dahalan

Selain itu, saranan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhiyyidin Yassin ketika mengumumkan kelonggaran SOP sebelum ini menyarankan semua peniaga restoran meletakkan meja kerusi di kawasan luar premis dan kawasan terbuka untuk pengudaraan yang baik agar virus Covid-19 tidak merebak di premis makanan.

DPMS mendapat maklum balas daripada pakar kesihatan dan orang awam termasuk pelanggan restoran bahawa aktiviti dine-in di kaki lima atau ruang legar restoran lebih selamat daripada ruang dalam premis.

Setelah SOP ini dikuatkuasakan, DPMS mendapat maklumat balas banyak restoran yang terpaksa menambah meja di dalam restoran dan ia menimbulkan kurang selesa bagi pelanggan dan pekerja umtuk bergerak.

Tidak kurang juga ada peniaga yang terpaksa membuka semula ruang berhawa dingin di premis mereka yang ditutup sejak pandemik bermula atas faktor ini, sekali gus dikhuatiri mewujudkan keadaan kurang selamat kepada pekerja dan pengunjung premis makanan.

”Saya melihat ada restoran terpaksa kurangkan enam hingga 30 meja di ruang legar mereka. Ianya tentu sekali memberikan impak buruk kepada perniagaan mereka yang mana kos operasi perniagaan mereka tetap sama seperti asal walaupun bilangan meja kerusi berkurangan.

”Sudahlah semasa PKP hanya dibenarkan take away’tetapi masih perlu membayar sehingga ribuan ringgit sebulan kepada PBT dan pihak pengurusan untuk terus mengunakan kawasan tersebut.

”Kita juga pernah memohon daripada kerajaan negeri melalui kementerian berkaitan PBT supaya mempertimbangkan agar semua bayaran bagi ruang legar restoran dimansuhkan ketika dine in tidak dibenarkan. Perkara ini penting bagi memastikan pengusaha restoran dapat bertahan dalam keadaan seperti ini,” ujar Darul Nazli.

Menurutnya beliau, sebagai peniaga, pemilik-pemilik restoran patuh dengan semua SOP yang ditetapkan.

Namun tindakan PBT terutama DBKK yang mengeluarkan kompaun tanpa sebarang notis amaran, arahan atau surat pekeliling kepada para pengusaha restoran dilihat tidak wajar kerana ramai pengusaha tidak sedar kewujudan SOP terbaharu.

SOP itu ternyata membebankan para peniaga yang sedang mengalami masalah kekurangan tunai dalam perniagaan mereka.

Seharusnya PBT harus mengunakan pendekatan berhemah dengan memberikan notis amaran terlebih dahulu sebelum tindakan kompaun dikeluarkan.

DPMS juga telah mengadakan perbincangan bersama sama beberapa dewan perniagaan lain dan semuanya mempunyai pandangan yang sama bahawa SOP ini perlu dinilai semula kerana dilihat tidak membantu dalam mana-mana aspek.

Sedangkan dalam situasi seperti ini, ekonomi dan kesihatan perlu diimbangi bersama. – MalaysiaGazette