Home Politik Nyahwarta HSKLU: Jika MB berkeras, Kerajaan Pusat wajar guna peruntukan yang ada

Nyahwarta HSKLU: Jika MB berkeras, Kerajaan Pusat wajar guna peruntukan yang ada

Shahril Sufian Hamdan (kiri) bergambar di Kampung Orang Asli Busut Baru bersebelahan Hutan Simpan Utara Kuala Langat (HSKLU) semalam.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan boleh mempertimbang menggunakan peruntukan Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan sebagai langkah akhir dan drastik untuk mengambil hak milik Hutan Simpan Utara Kuala Langat (HSKLU) yang telah dinyahwarta – iaitu daripada milik Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Pusat, sebelum negeri melaksana pindahmilik ke mana-mana syarikat atau entiti.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, cadangan agresif itu adalah langkah akhir seandainya segala desakan kepada Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari masih gagal.

Menurut beliau, sepatutnya bukan menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memperbetul kegagalan dan kerakusan kerajaan negeri.

Tetapi HSKLU merupakan aset amat berharga atas kedua-dua faktor warisan dan masa hadapan.

”Jika Menteri Besar dan Exco tidak mematuhi keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Dewan, mahupun pandangan rakyat menerusi pendengaran awam, apatah lagi keluhan di media sosial, maka sesuatu yang tegas harus dilakukan untuk menyelamatkan situasi.

“Kerana nampak gayanya, bising macam mana pun, MB (menteri besar) dan Exconya masih nak teruskan…,” katanya yang mengulas mengenai tindakan senyap-senyap Kerajaan Negeri Selangor menyahwartakan 536.70 hektar daripada keseluruhan HSKLU iaitu lebih separuh dari kawasan gazet sebelum ini.

Tegas Shahril, keputusan ini amat tidak masuk akal kerana HSKLU merupakan kawasan paya gambut, tanah adat orang temuan, dan juga habitat untuk spesies terancam yang berusia 8,000 tahun.

Malah, usul yang diluluskan di DUN Selangor pada November 2020 untuk menolak penyahwartaan dan apa-apa bentuk pembangunan HSUKL, selain pendengaran awam yang diadakan pada September 2020 juga mendapat bantahan dari ramai pihak.

Ini juga tidak termasuk puluhan ribu mesej bantahan dan petisyen menolak perkara sama, juga mengambil kira lebih Orang Asli suku Temuan yang telah menduduki sekitar HSKLU sejak abad ke 19 sehingga hari ini lebih 2,000 orang.

“Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi isyarat jelas bahawa krisis iklim sudah sampai ke ambang kritikal dan dalam jangka hayat kita dan anak kita, pelbagai musibah dijangka berlaku jika langkah-langkah drastik tidak dilaksana segera. Paya gambut merupakan antara takungan semulajadi karbon. Pemusnahan HSKLU demi keuntungan dan pembangunan yang tidak diperlukan pun, adalah satu langkah tidak masuk akal,” ujarnya.

Lagipun, hujah beliau, sekiranya mengikut sains, penyahwartaan HSKLU tidak masuk akal, begitu juga jika mengikut demokrasi DUN, suara rakyat dan hak Orang Asli.

”Jadi adakah ini masuk akal dek kerana wang ringgit semata-mata? Adakah tindakan melanggar segala suara dan bantahan disebabkan rizab kerajaan negeri semakin berkurang setiap tahun daripada RM3.2 bilion pada tahun 2016, jatuh ke RM2.1 bilion pada tahun 2019?

”Apapun sebabnya, Kerajaan Selangor di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari wajar membatalkan penyahwartaan segera. Kita tunggu penjelasan, tetapi saya tidak dapat bayangkan apa penjelasan yang boleh menjustifikasi penyahwartaan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette