Home Politik Buat undi tak percaya pada Amirudin – PSM

Buat undi tak percaya pada Amirudin – PSM

Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor diminta melaksanakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang didakwa menentang resolusi Dewan Undangan Negeri Selangor berhubung Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Ketua Biro Krisis Alam Sekitar dan Iklim Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Darren Ong Chung Lee berkata, sudah tentu Selangor mempunyai calon yang lebih layak.

Katanya, PSM mengecam keputusan Kerajaan Selangor yang menyahwarta lebih separuh HSKLU.

Beliau menegaskan, tindakan Menteri Besar Selangor itu tidak mendatangkan faedah kepada rakyat negeri tersebut kecuali kepada golongan tertentu.

Sebaliknya tindakan itu tidak telus dan tidak bertanggungjawab, memburukkan lagi krisis iklim dan melanggar hak budaya dan tanah Orang Asli.

Yang jelas, keputusan tersebut bertentangan dengan resolusi sebulat suara yang diputuskan oleh DUN Selangor pada November tahun lalu untuk melindungi hutan simpan berkenaan.

”Keputusan untuk nyahwarta dibuat pada bulan Mei secara rahsia tanpa ketelusan, menguntungkan Gabungan Indah Sdn Bhd, sebuah syarikat misteri yang tidak mempunyai rekod prestasi yang diberi hak istimewa untuk membangunkan tanah hutan seluas 536.7 hektar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, PSM mendesak Amirudin segera membatalkan nyahgazet hutan tersebut.

“Sekiranya dia gagal, kami mendesak DUN Selangor melakukan undi tidak percaya pada beliau,” tambah Darren.

Pada masa sama, PSM turut mendesak para pemimpin Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, dan Mohamad Sabu untuk menegur Kerajaan Selangor dan menyelamatkan hutan tersebut.

”Sekiranya mereka gagal mengembalikan tanah HSKLU yang digazetkan, maka mereka telah hilang moral untuk mengkritik aktiviti pembalakan dan perlombongan yang diluluskan oleh negeri yang ditadbir oleh Pas dan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Tidak perlu tunggu buat undi tidak percaya, adun-adun PH tarik terus sahaja sokongan sekiranya arahan datang dari ketia parti PH. Umno boleh buat tak akan PH tidak berani buat.

  2. P unah HaraPAN dn P arti K hianat R eformasi yg diketuai Pres ANWARFIKUN…berjuang untuk menyalahkan pihak lain…tetapi SUCI bagi pihak mereka membisu memekak telinga dan pejam mata jika berlaku ISU-ISU YG DIBUAT kumpulan mereka….Lihat saja 22bulan dibawah tadbir mereka

Comments are closed.