Home Nasional 301,013 orang daftar program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin – Hamzah

301,013 orang daftar program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin – Hamzah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap kepada media sempena hari pertama memulakan tugas di Bilik Mesyuarat MDN, Kementerian Dalam Negeri, W.P Putrajaya. FOTO FARHAN MAHAMAD, 01 SEPTEMBER 2021.

PUTTRAJAYA – Seramai 301,013 orang didaftarkan dalam program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin sehingga Ogos lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, program rekalibrasi dilaksanakan dalam dua aspek iaitu rekalibrasi penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rekalibrasi pendaftaran PATI untuk tenaga kerja dalam negara.

“Untuk Rekalibrasi pulang PATI, seramai 122,270 orang telah mendaftarkan diri setakat ini dengan (Jabatan) Imigresen sehingga 30 Ogos lalu dan daripada angka itu seramai 101, 851 orang sudah pulang ke negara asal mereka.

“Menerusi proses pendaftaran rekalibrasi penghantaran pulang PATI kita berjaya mengitup hasil wang berjumlah RM59 juta,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya, hari ini.

Tambah beliau menerusi program rekalibrasi tenaga kerja PATI, seramai 178,743 orang didaftarkan untuk diambil untuk bekerja dalam dalam sektor yang diperlukan di negara ini.

Menurutnya, sebanyak 8,544 majikan tempatan telah mendaftarkan untuk mendapatkan tenaga kerja PATI menerusi program tersebut.

“Hasilnya kita berjaya mengutip wang cagaran sebanyak RM87.591 juta manakala kutipan hasilnya adalah berjumlah RM1.909 juta menerusi program rekalibrasi pendaftaran tenaga kerja PATI ini,” ujarnya.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya akan terus memberikan fokus kepada kawalan sempadan negara dengan menggunakan perolehan aset-aset strategik di sempadan Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, fokus itu termasuk pembukaan pintu-pintu masuk baharu, pembinaan pos-pos kawalan, pembelian radar, Kamera Litar Tertutup (CCTV), dron dan penambahbaikan dan pembinaan pagar-pagar sempadan darat di lokasi-lokasi berisiko tinggi.-MalaysiaGazette