Home Nasional Program Rekalibrasi Pulang PATI sahaja tak cukup – MHO

Program Rekalibrasi Pulang PATI sahaja tak cukup – MHO

Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Program Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja bagi menghantar pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disambut baik.

Malah setakat ini seramai 93,000 PATI telah mendaftar bagi tahun 2020 dan jelas program itu telah menarik kumpulan warga asing ini untuk pulang ke negara asal masing-masing secara sukarela.

Bagaimanapun pada masa sama, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berpandangan angka itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan sebaliknya banyak lagi aspek perlu dikaji kerajaan dalam menangani isu berkaitan PATI di negara ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya sentiasa melakukan kajian di lapangan termasuklah bercakap sendiri dengan PATI selain menjadi jurucakap serta membantu mereka dalam isu perundangan.

“Memang kita sokong kerajaan dengan Program Rekalibrasi Pulang PATI ini apatah lagi mereka dengan suka rela balik selepas tinggal di sini dengan tempoh yang lebih lama daripada yang ditetapkan.

“Tetapi kajian MHO juga mendapati rata-rata mereka ini bukan hendak pulang dengan rela hati sebaliknya menjadi mangsa kepada segelintir yang di negara yang memberikan janji palsu kepada mereka antaranya mendapatkan pekerjaan serta pas kerja sah.

“Seringkali juga kita dapati mereka ini telah menjadi mangsa program-program pemutihan sebelum ini yang mana pihak vendor dilantik telah tidak dapat menyudahkan proses permohonan mereka.

“Ingatlah, sudah tentu mereka tidak ingin pulang setelah segala wang dan harta benda telah digadaikan semata-mata untuk memasuki negara ini demi mencari pekerjaan.

“MHO berasa amat sedih dengan sambutan dingin PATI untuk mengambil kesempatan Program Rekalibrasi Pulang ini. Angka 93,000 bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan setelah hampir setahun program ini  dilancarkan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Kata Hishamuddin yang juga peguam, kerajaan perlu melakukan lebih banyak langkah proaktif bagi penyertaan lebih banyak PATI pulang secara sukarela apatah lagi ketika negara sedang berdepan dengan era mencabar pandemik.

“MHO merasakan sudah tiba masanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM khususnya mengambil kira pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menambah baik hasil dari program yang dilaksanakan.

“Ini kerana kebanyakkan NGO sentiasa berada dilapangan dan menjadi rujukan golongan ini dalam menyuarakan kebimbangan dan kekangan yang mereka hadapai.

“Malah MHO sendiri sedia menghulurkan tangan kepada KDN dan JIM bagi sama-sama membantu menjayakan program seperti ini,” ujarnya.

Pendatang asing tanpa izin yang telah mendaftar Program Rekalibrasi Pulang hadir ke Kaunter Rekalibrasi PATI bagi melengkapkan dokumen mereka untuk pulang ke negara masing-masing ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JULAI 2021.- Gambar hiasan.

MHO juga memberikan cadangan program pendaftaran Rekalibrasi Pulang boleh dilakukan secara talian daripada meminta pemohon hadir ke pejabat imigresen.

“Mungkin pemohon boleh muat naik butiran peribadi beserta maklumat tempahan tiket penerbangan dan keputusan ujian saringan Covid-19. Selepas kelulusan diberikan, pemohon perlu membayar secara atas talian kompaun tersebut yang mana pada kaedah semasa ketika ini pembayaran hanya boleh dibuat secara kad debit dan tanpa tunai.

“Walaupun kemudahan e-wallet juga diterima namun seringkali didapati alat peranti e-wallet tersebut tidak dapat digunakan dan mengakibatkan bayaran kompaun dan pas khas tidak dapat dibuat.

“Cara ini amat menyusahkan pemohon memandangkan semua PATI tidak memiliki debit kad bank kerana tidak mempunyai Pas Jangka Panjang bagi membolehkan mereka membuka akaun bank di negara ini.

“Melalui kaedah ini, MHO berfikir bayaran secara talian  memudahkan dengan bantuan  pihak rakan-rakan PATI di negara ini atau pun pihak bank yang berada di kawasan berhampiran,” katanya.

MHO juga berharap supaya program ini boleh dilaksanakan disemua pintu keluar negara dan tidak hanya tertumpu di KLIA saja. Ini bagi memberikan mereka lebih banyak pilihan kepada PATI untuk memilih pintu keluar mengikut kemampuan mereka.

“Tindakan menyenarai hitam pemohon dalam tempoh yang agak lama menyebabkan mereka kurang berminat menyertainya,” ujarnya.

Sambung beliau, rata-rata warga asing tahu mereka akan datang kembali ke negara ini walaupun pulang ke negara asal memandangkan lubuk rezeki di sini.

“Oleh yang demikian mereka tidak mahu disenaraihitam sehingga akhirnya terpedaya dengan tawaran sindiket penyeludupan manusia yang akan menyeludup mereka menggunakan pintu tidak sah dan merbahaya.

“Kaedah lebih baik adalah kita memberi galakan kepada mereka menggunakan saluran sah sebenarnya dan tidak sesekali beri peluang kepada sindiket seperti ini,” ujarnya.

Menurut Hishamuddin, janganlah menjadi punca kepada berlakunya ruang penyeludupan migran dan banyak lagi cadangan yang lebih menarik oleh MHO untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan.

“Pada kita, tawaran yang menarik bagi mendapatkan sambutan yang mengalakkan dari golongan sasar. MHO juga sedia membantu pihak PATI dalam memberikan khidmat nasihat undang-undang secara percuma kepada PATI,” tegasnya. -MalaysiaGazette