RIO DE JANEIRO – Gara-gara gagal membayar nafkah anak, bekas pemain bola sepak Brazil dan Real Madrid, Roberto Carlos dijatuhi hukuman penjara.
Agensi berita China, Xinhua melaporkan, hakim sebuah mahkamah keluarga di sini mendapati Carlos, 44, gagal melunaskan pembayaran nafkah sebanyak 61,000 reais (kira-kira AS$20,000) kepada bekas isteri Barbara Thurler.
Bekas pemain pertananan kiri itu mempunyai sembilan anak, dua daripadanya hasil perkongsian hidup dengan Thurler.
Hakim Mayane de Castro berkata, keluarga bekas isteri menolak cadangan Carlos untuk membayar jumlah tunggakan secara ansuran.
Bagaimanapun menurut peguam Fernando Pittner yang mewakli Carlos, perkara itu boleh diselesaikan tanpa memerlukan anak guamnya masuk penjara.
Carlos yang pernah beraksi sebanyak 125 kali dengan pasukan kebangsaan Brazil, kini menetap di Sepanyol dan menjadi duta untuk kelab bola sepak Real Madrid. – MalaysiaGazette