KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak boleh menghalang penghantar barang wanita untuk keluar pada waktu malam kerana pekerjaan itu adalah punca rezeki mereka.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, golongan itu bukan sengaja untuk keluar dan bersiar-siar sehingga mendedahkan nyawa mereka kepada ancaman keselamatan.
Namun beliau menasihati penghantar barangan wanita agar lebih berhati-hati apabila tidak keluar terlalu lewat malam sebaliknya perlu berteman dan menghantar barang kepada pelanggan yang dikenali sahaja.
“Mereka cari rezeki dan kalau saya kata tidak boleh keluar malam, mereka cari rezeki, bukan keluar sesuka jati dan bukan bersiar-siar.
“Cuma kita kena faham dalam keadaan mencari, untuk diri sendiri kena berhati-hati dan terpulang agar ada had jangat lewat malam sangat melainkan regular pelanggan dan kena ada peneman.
“Namun bukan tanggungjawab penghantar barang wanita sahaja tetapi kepada masyarakat di mana peragut (kes Siti Nur Azizah) dapat ditangkap dan menjadi pengajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat keluarga Siti Nur Azizah Syafriadi, 17, yang menjadi mangsa samun sehingga kehilangan tangan di PPR Beringin di Kepong di sini hari ini.
Pada pertemuan itu, Rina bertemu ibu Siti Nur Azizah iaitu Roslinawati Ya, 38, sambil memberikan sumbangan melalui Tabung Bantuan Segera (TBS) berjumlah RM300, bakul makanan selama enam bulan, tablet bagi pembelajaran empat adik mangsa dan sumbangan Bantuan Prihatin berjumlah RM1,000.
Anak sulung daripada lima beradik itu kini mula sedarkan selepas bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) akibat parah disamun tiga lelaki di Jalan Kuching, pada Khamis lalu.
Lebih menyedihkan tangan kanannya terpaksa dipotong sehingga paras bahu gara-gara kecederaan yang dialami.
Siti Nur Azizah yang tidak lagi bersekolah dan kehilangan bapa pada 2018 membantu keluarganya dengan menjadi penghantar barang pada waktu petang hingga malam bersama seorang rakan lelaki yang turut disamun dalam insiden sama.
Pada sebelah siang, dia akan membantu ibunya yang meniaga secara atas talian dengan menghantar parcel di syarikat penghantaran berdekatan rumah mereka.
Mengulas lanjut, Rina yang menyifatkan insiden sebagai malang tidak berbau berkata, ia boleh terjadi kepada sahaja terutama kepada kaum wanita.
Jelas beliau, kes samun itu juga melibatkan mangsa yang menaiki kenderaan dan mereka yang berjalan kaki.
“Kemalangan ini adalah malang tak berbau yang boleh terjadi kepada sesiapa terutama kaum wanita.
“Bila berlaku, dari segi avokasi, sebagai contoh bila kita sebut malang tidak berbau, ia terjadi tanpa kita duga. Tapi dari segi diri kita kena persiapkan diri sama naik motor dan jalan kaki, sekurang-kurang ada kemahiran pertahankan diri,” katanya.
Sementara itu, Rina memberitahu, kementeriannya telah berbincang dengan pengurusan pasar raya Mydin yang bersetuju menawarkan pekerjaan kepada Siti Nur Azizah apabila sembuh.
Pada masa sama, kata beliau, remaja malang itu juga akan diberi rawatan kaunseling untuk membantu emosi selepas menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU) selain sedia mempertimbangkan bantuan tangan palsu berdasarkan laporan doktor pakar. – MalaysiaGazette