KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan akan menyelesaikan kemelut penggiat industri kreatif yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta impak penularan pandemik Covid-19.
Menerusi ciapan di Twitter, Annuar memberi jaminan terdapat berita gembira yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
“Insya-Allah, ada berita gembira untuk semua penggiat seni dan industri kreatif. Selepas pengumuman, saya akan beri perinciannya… Insya-Allah,” ciapnya hari ini.
Sebelum itu, Annuar melayangkan ciapan yang antara lain menyatakan beliau menyedari masalah dihadapi penggiat seni sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
“Pendukung industri kreatif sudah begitu lama terkesan dengan PKP.
“Tiba masanya kita bentang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk segera pertimbangkan kelonggaran dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu khasnya, bagi mereka yang sudah diberi dua suntikan vaksin Covid-19.
“Semoga ada berita baik buat mereka tidak lama lagi,” katanya.
Sejak 18 bulan lalu, industri kreatif menjadi antara sektor ekonomi yang teruk berdepan impak penularan Covid-19 apabila kegiatan seni termasuk penggambaran dihentikan sebagai langkah memutuskan rantaian wabak berbahaya ini.
Biarpun Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran untuk kerja penggambaran tergendala diteruskan dengan pematuhan SOP ketat, Julai lalu, namun, majoriti pekerja seni terutama kru tidak terbabit dalam projek seumpama itu.
Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengumumkan kebenaran melakukan aktiviti penggambaran di luar studio hanya dibuat berperingkat dengan tertakluk kepada syarikat penerbitan yang mempunyai baki kerja atau ‘job’ tertangguh, bukan untuk penghasilan produk baharu.
Selain itu, semua pekerja termasuk artis dan kru diwajibkan melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat kembali ke lokasi penggambaran.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan memberi kebenaran aktiviti penggambaran di luar studio dengan pematuhan SOP ketat pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kelulusan aktiviti penggambaran pada fasa kedua PPN berpandukan kepada pelaksanaan syarat ketat di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang dikawal selia FINAS. – MalaysiaGazette