Home Nasional Tempoh bayaran cukai tanah Pahang dilanjutkan lagi sehingga 30 Sept

Tempoh bayaran cukai tanah Pahang dilanjutkan lagi sehingga 30 Sept

Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang buat kali kedua bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah tahun 2021 kepada semua pemilik tanah berdaftar di Pahang sehingga 30 Sept ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sehubungan itu, denda lewat bayaran hanya akan dikenakan mulai 1 Okt depan.

“Keputusan ini diharapkan membolehkan pemilik tanah terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai tanah masing-masing.

“Kerajaan negeri menghargai komitmen pemilik tanah yang tetap menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai tanah sungguhpun dalam situasi mencabar akibat penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ini merupakan kali kedua lanjutan tempoh dilakukan tahun ini dengan yang pertama pada 19 Mei lepas, apabila menteri besar mengumumkan lanjutan bayaran cukai tersebut sehingga 31 Ogos sebelum dilanjutkan lagi sehingga hujung September ini.

Tempoh bayaran akhir cukai tanah di negeri ini ditetapkan pada 31 Mei setiap tahun.

— BERNAMA