SEBERANG PERAI – Polis menahan seorang jurutera yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar Simpang Ampat di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.15 malam, lelaki berusia 41 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima itu dikatakan memandu secara berbahaya sebelum merempuh lampu, papan tanda sekatan jalan raya (SJR) serta kon di lokasi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, hasil siasatan mendapati suspek datang dari arah Bukit Mertajam menuju ke rumahnya di Taman Perdana, Simpang Ampat itu berada di lorong kanan sebelum tiba-tiba membelok ke kiri.
Ketika kejadian lima anggota polis seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berada di lokasi.
Jelas beliau, anggota Rela yang melihat tindakan suspek menjerit sebagai amaran sebelum anggota polis yang sedang bertugas dapat mengelak daripada turut dirempuh.
“Anggota berjaya mengelak dengan melarikan diri ke bahu jalan sebelum suspek merempuh beberapa kon, lampu, papan tanda serta papan tanda SJR.
“Susulan rempuhan itu, suspek cuba melarikan diri ke Jalan Simpang Ampat namun gagal selepas anggota berada di lokasi berjaya kejar dan melakukan tangkapan iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
“Hasil semakan awal mendapati suspek tersebut memandu dalam pengaruh alkohol,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Tambah Chong Chern, hasil siasatan suspek mengaku minum minuman keras bersama pelanggan di syarikat dia bekerja bermula jam 7 malam sebelum pulang ke rumah.
“Susulan itu, kita turut merampas kenderaan suspek untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut dijalankan dan tiada anggota cedera dalam kejadian tersebut,” kata Chong Chern.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette