Home Sukan KBS tubuh Jawatankuasa Siasatan Dalam berkaitan kes Ziyad

KBS tubuh Jawatankuasa Siasatan Dalam berkaitan kes Ziyad

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu antara orang yang menyambut kepulangan atlet paralimpik Malaysia selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto FARHAN MAHAMAD, 03 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman berkaitan pembatalan penyertaan dan kemenangan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jawatankuasa tersebut akan diselia oleh Majlis Sukan Negara dengan penglibatan keanggotaan bebas.

“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Borhan Dolah iaitu mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.

“Ahlinya adalah mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia, Mohd Manshahar Abdul Jalil” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai menyambut empat atlet paralimpik negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di sini haru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap selepas menyambut ketibaan atlet paralimpik Malaysia selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021. selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2021.

Ahmad Faizal berkata, tugasan jawatankuasa tersebut antaranya adalah menetapkan skop serta bidang tugas jawatankuasa siasatan.

“Kedua menetapkan kaedah pengumpulan maklumat. Ketiga memanggil dan menemuramah individu-individu yang boleh membantu siasatan.

“Keempat mendapatkan bahan atau dokumen yang boleh membantu siasatan. Kelima, mengenal pasti isu dan kelemahan yang ada.

“Yang terakhir mengemukakan laporan siasatan dan cadangan penambahbaikan kepada KBS dalam tempoh yang akan ditentukan,” jelasnya.

Sementara itu, gara-gara pembatalan pingat emas itu, Ziyad turut terlepas ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik selain RM20,000 kerana berjaya memecahkan rekod dunia dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Jaguh negara berusia 31 tahun itu juga hilang statusnya sebagai pemegang rekod dunia.

Rata-rata peminat sukan negara menyalahkan pegawai pengiring Ziyad yang didakwa gagal melaksanakan tugas mereka sehingga menyebabkan atlet itu lewat tiba di bilik menunggu.

Di Tokyo, Ziyad diiringi ketua jurulatih para negara, R Jaganathan dan jurulatihnya, Faizol Harun. – MalaysiaGazette