KUALA LUMPUR – Tujuh aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini untuk dirakam keterangan berkaitan himpunan kedua #Lawan yang dibatalkan 21 Ogos lalu.
Peguam mereka, Rajsurian Pillai mengesahkan ketujuh-tujuh individu berkenaan adalah Amir Abdul Hadi, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar, Mohamad Abdullah Alshatry, Qyira Yusri, Tharmalinggam Pillai, Dobby Chew dan Sara Irdina.
Mereka tiba sekitar pukul 9.30 pagi bersama lebih lima peguam sebelum masuk ke IPD pukul 10.15 pagi tadi untuk dirakam keterangan oleh polis.
Pada 13 Ogos lalu, kumpulan berkenaan dipanggil oleh polis bagi membantu siasatan berkaitan peranan mereka dalam merancang demonstrasi kedua #Lawan di Dataran Merdeka.
Tindakan itu menyusul selepas kumpulan berkenaan mengugut untuk mengadakan demonstrasi Lawan pada 21 Ogos lalu sebagai menuntut Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin berundur dari jawatan kerana didakwa gagal mengawal Covid-19.
Protes itu bagaimanapun dibatalkan selepas Muhyiddin berundur dari jawatan tersebut pada 16 Ogos lalu.
Bercakap kepada pemberita selepas sejam dirakam keterangan kepada polis, wakilnya, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azharssr mengecam intimidasi dan siasatan di bawah Akta Hasutan yang digunakan polis ke atas tujuh aktivis dari SSR yang bersuara.
Katanya, kesemua mereka dipanggil bagi disiasat di bawah Seksyen 4(1) di bawah Akta Hasutan 1948.
“Gajet telefon bimbit kami telah dirampas polis tadi untuk siasatan tanpa menyatakan sama ada proses percakapan selesai setakat hari ini atau dikehendaki datang semula.
“Sebelum ini Ogos lalu kami telah pun dipanggil untuk disiasat di bawah akta yang sama yang mana kami berpandangan siasatan ini membuang masa dan tenaga semua pihak satu pembaziran sumber dan tenaga polis kerana siasatan terhadap aktivis yang hanya menjalankan tanggungjawab yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“ia adalah satu bentuk gangguan dan intimidasi berterusan yang memijak hak perlawanan rakyat dan anak muda yang hanya inginkan negara ini ditadbir dengan baik dan demokratik.
“Apatah lagi siasatan serta tekanan kepada rakyat biasa lebih lanjut dan keras berbanding siasatan kepada barisan menteri atau politikus yang mesra kerajaan.
“Kami mengutuk sekras-kerasnya penggunaan Akta Hasutan ke atas sesiapa sahaja tidak kira latar belakang mahu pun fahaman politik,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD hari ini.
Dakwa Mohammad Asraf Sharafi, penggunaan Akta Hasutan diteruskan oleh kerjaaan yang ada dan melihat ia sebagai satu penghinaan terhadap pejuang tanahair ini.
Mohammad Asraf Sharafi menggesa mengesa agar Akta Hasutan dimansuhkan dengan segera dan suara-suara rakyat tidak wajar ditekan dengan akta lapuk itu.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pihaknya merakam percakapan untuk membantu siasatan polis berhubung pembatalan Himpunan #Lawan yang dirancang kumpulan itu pada 21 Ogos lalu di ibu negara.- MalaysiaGazette