Home Politik Kit Siang puji Ismail Sabri

Kit Siang puji Ismail Sabri

Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang memuji tindakan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri dalam tulisan blognya hari ini.

Tulis Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri,  Ismail Sabri telah mempamerkan sikap dalam ‘adil dan saksama’ dalam kes serangan seorang pengawal keselamatan yang meninggalkan dunia selepas terlantar sekian lama.

“Perdana Menteri telah menjawab persoalan yang telah diluahkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran berkaitan kematian pegawal keselamatan, mendiang Thava Sagayam.

“Jawapan yang diberikan oleh Ismail Sabri sebenarnya memperkuatkan keyakinan bahawa Perdana Menteri  baharu ini akan menegakkan keadilan dalam pemerintahannya kelak.

“Ini juga memberikan keyakinan kesepakatan dan pembaharuan kepercayaan antara kerajaan pemerintah dan pembangkang,” tulisnya dalam blog hari ini.

Kit Siang merujuk kepada kenyataan Ismail Sabri semalam yang menegaskan keadilan harus ditegakkan dan tiada sesiapa yang terkecuali daripada garis undang-undang kerana Thava setelah sekian lama terlantar sakit akibat diserang penyewa sebuah kondominium di Ipoh, Disember lalu.

“Saya sedih dan terkejut dengan musibah yang melanda keluarga S. Thava Sagayam ini,” kata Perdana Menteri melalui hantaran balas Twitter kepada ciapan Kulasegaran.

Semalam, Kulasegaran dalam laman Twitternya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana meluangkan masa bercakap dengan keluarga mendiang Thava Sagayam.

Pada Jumaat lepas, Thava, 64, meninggal dunia selepas lama terlantar sakit berikutan diserang seorang oleh penyewa sebuah kondominium pada 29 Dis tahun lalu selepas anaknya dilarang menggunakan kolam renang yang ditutup kerana pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, kata Kit Siang lagi, ujian pertama Ismail Sabri adalah untuk tidak membuat rayuan dan sebaliknya menegakkan keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak di Kuching yang memerintahkan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun pada akhir tahun ini.

“Jika benar apa yang dikatakan oleh Ismail Sabri dalam ciapan beliau semalam maka beliau akan lulus ujian ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette