Home Nasional Empat suspek samun Geng Latino direman tujuh hari

Empat suspek samun Geng Latino direman tujuh hari

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Empat suspek warga asing dari Amerika Latin yang juga ahli Geng Latino yang ditahan polis terbabit dalam kejadian jenayah samun di Cheras di sini semalam telah direman selama tujuh hari.

Reman selama tujuh hari terhadap keempat-empat suspek berkenaan dibenarkan oleh mahkamah bermula hari ini hingga 10 September depan bagi membantu siasatan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, keempat-empat suspek yang ditahan terbabit berusia antara 30 hingga 60 tahun.

“Siasatan awal dilakukan mendapati geng berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak 2018 di negara ini. Kami percaya sindiket ini ada kaitan dengan kira-kira 25 kes (samun) yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Semakan dilakukan polis juga mendapati semua suspek berkenaan tidak bekerja dan mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Geng Amerika Latin tabur wang RM10 sebelum samun 

Cubaan samun gagal, seorang suspek warga asing cedera ditembak polis 

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan geng berkenaan menggunakan modus operandi samun dengan helah menabur wang RM10 di atas jalan sebelum menyamun mangsa yang mengeluarkan wang berjumlah RM194,000 dari sebuah bank di Cheras, semalam.

Abd Jalil dalam kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman malam tadi menjelaskan suspek yang mengekori mangsa selepas mengeluarkan wang bertindak memancitkan tayar kenderaan dinaiki mangsa.

Menurutnya, mangsa yang terpedaya dalam jerat geng Latino itu memberhentikan kereta sebelum suspek membuat helah menaburkan beberapa keping duit kertas RM10.

“Semasa mangsa leka mengutip duit terbabit, suspek akan membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg mangsa yang berisi duit.

“Kegiatan suspek geng Latino itu terbongkar selepas polis menahan empat Geng Latino samun keluar bank jam 12 tengah hari ini selepas pihak polis mendapat maklumat daripada orang awam memaklumkan satu kejadian samun berlaku di sebuah stesen minyak di Cheras,” katanya.

“Pihak polis turut melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek yang mengenai bahagian badan salah seorang suspek berkenaan di Jalan Berhala, Brickfields,” tegasnya.-MalaysiaGazette