KUANTAN – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Rumah Kongsi Pinggiran Goh susulan 147 warga asing yang merupakan pekerja tapak binaan disahkan positif Covid-19.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohamed Rizal Kamarudin berkata, lokaliti tersebut mula dikenakan PKPD tengah malam tadi hanya melibatkan kawalan pergerakan penghuni rumah kongsi terbabit.
Tambahnya, penduduk di sekitar taman perumahan Kota SAS yang berhampiran dengan rumah kongsi dinasihatkan supaya tidak khuatir kerana ianya tidak terlibat dengan perintah PKPD.
“Mereka yang tinggal di Kota SAS bebas melakukan pergerakan seperti biasa kerana tidak terlibat PKPD sehingga 17 September ini.
“Seramai 147 disahkan positif Covid-19 daripada 480 warga asing yang bekerja di tapak pembinaan menyebabkan PKPD dilaksanakan Rumah Kongsi Pinggiran Goh selama 14 hari.
“Ia melibatkan penghuni di lapan buah rumah kongsi dan dibuat pengasingan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” ujar Rizal ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Kesemua pergerakan dikawal rapi kerana kluster tersebut berisko tinggi dan terdedah berikutan kelompok tersebut belum mendapatkan suntikan vaksin.
Seramai 17 anggota ditugaskan bagi membuat rondaan dan memastikan agar prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, katanya.
“Pasukan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Bantuan serta Jabatan Sukrarela Malaysia (RELA) membuat rondaan dan kawalan keseluruhan bagi memstikan pergerakan keluar masuk dikawal.
“Penghalang konkrit juga diletakkan menutup jalan yang menghubungkan antara taman perumahan Kota SAS dan Rumah Kongsi Pinggiran Goh.
“Pengasingan sudah dilakukan dan bantuan yang disediakan oleh kontraktor dan pengurusan KotaSAS bagi menjaga kebajikan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette