Home Seni Hidup Pahang salur RM67,500 bantu mangsa ribut Felda Panching

Pahang salur RM67,500 bantu mangsa ribut Felda Panching

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyantuni salah seorang penerima sumbangan, Jihara Abdullah di Felda Panching, Pahang hari ini.

KUANTAN – Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan RM67, 500 kepada 95 mangsa ribut di Felda Panching dekat sini hujung Julai lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan yang disalurkan mengikut tahap kerosakan yang dialami mangsa dan diharap ia dapat membantu mengurangkan beban yang mereka ditanggung.

Menurutnya, kesemua mangsa menerima sumbangan pada hari ini dan jumlahnya diberi mengikut tahap kerosakan rumah yang dialami.

“Seramai empat orang menerima RM3,000 setiap seorang, 20 orang menerima RM1,000 setiap seorang manakala 71 orang mangsa lagi menerima RM500 setiap seorang,” katanya semasa menyampaikan sumbangan kepada penerima di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Panching Utara dekat sini hari ini.

Rata-rata mangsa ribut mengimbau kembali bencana alam yang berlaku pada 27 Julai lalu yang dianggap terburuk berlaku sejak tanah rancangan itu dibuka sekitar tahun 1971.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, rumah peneroka terjejas termasuk sebahagiannya rosak teruk selepas bumbung rumah tercabut akibat ribut.

Ahmad Razali Hassan, 65, yang mendiami di tanah rancangan Felda sejak lima dekad lalu bersama ibunya, Jihara Abdullah, 84, bersyukur kerana mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Rasa terharu ada pemimpin prihatin dan cakna apabila menerima sumbangan yang tidak disangka-sangka. Sebelum ini dapat bantuan daripada Yang Berhormat Panching dan MUIP (Majlis Ugama Islam Pahang) untuk tampung perbelanjaan, kerosakan dan mengganti bumbung terbang.

“Saya memerlukan kos lebih RM3, 000 membaiki sebahagian atap rosak dan sementara belum siap sepenuhnya, keluarga berteduh di bahagian belakang rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Noralisa Norafendi pula berkongsi detik cemas semasa ribut melanda secara tiba- tiba tanpa hujan lebat mengakibatkan rumahnya terjejas teruk dan  terpaksa menangung kos kerugian lebih daripada RM15,000.

“Sumbangan hari ini syukur dapat membantu kerana telah mengeluarkan wang untuk membaiki kerosakan. Alhamdulillah terima kasih Menteri Besar Pahang,” katanya. – MalaysiaGazette