KUALA LUMPUR – Nasib 40 keluarga yang terlibat dalam bencana banjir lumpur di Kampung Sungai Chinchin, Jalan Gombak di sini minggu lalu mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hari ini.
Mereka menerima bantuan daripada Anak Jati Gombak Setia yang menyumbang wang tunai dalam membantu dana keluarga itu membina sistem perparitan yang berjumlah RM22,000.
Pengasas NGO Mohamed Salim Mohamed Ali berkata, ketika ini, setiap keluarga tersebut masing-masing telah mengeluarkan RM200 untuk mengumpul dana tersebut.
“Kampung Sungai Chinchin sentiasa berdepan masalah banjir lumpur setiap kali hujan lebat. Kita merayu agar Kerajaan Selangor dapat mengambil tindakan segera bagaimana hendak mengatasi masalah banjir lumpur ini.
“Rakyat sudah menderita akibat Covid-19 dan kini mereka ditambah kesusahan lagi dengan isu banjir lumpur.
“Kami juga minta Menteri Kerja Raya yang baru dilantik agar turun padang dan membantu menyelesaikan masalah banjir,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Beliau menyampaikan bantuan wang tunai itu kepada wakil keluarga iaitu Hafidi Hasan.
Mohamed Salim menambah, masalah banjir lumpur turut berlaku di Gombak Utara yang melibatkan lapan keluarga.
Jelas beliau, pihaknya telah melaksanakan tanggungjawab sosial apabila menghantar bantuan barang keperluan dapur kepada mereka dalam usaha mengurang beban yang dihadapi.
“Anak Jati Gombak Setia sentiasa memastikan tidak ada komunti yang tercicir dan sebab itu kita selalu turun ke padang setiap minggu dalam usaha memastikan hendak bantuan ini betul-betul sampai.
“Kita harap bantuan makanan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga yang terjejas sepanjang tempoh Program Pemulihan Negara (PPN) ini,” katanya.
Anak Jati Gombak Setia yang tubuhkan sejak 2010 aktif kini aktif membantu penduduk di kawasan itu dengan menyampaikan bantuan makanan sepanjang masa.
Malah sejak pelaksanaa Perintah Kawalan Pergerak 1.0 lalu, mereka telah menyantuni lebih 2,000 individu dengan peruntukan hampir RM20,000.
Mohamed Salim menambah, pihaknya komited membantu golongan yang kurang bernasib baik sepanjang masa dan bukan hanya bermusim ketika hendak menyambut sesuatu perayaan. – MalaysiaGazette