Home Nasional Polis Kedah bongkar port judi dalam bengkel besi

Polis Kedah bongkar port judi dalam bengkel besi

Polis serbu bengkel besi yang dijadikan port judi terup di Pekan Tanah Merah, Pendang, Kedah hari ini.

PENDANG – Taktik sekumpulan lelaki menjadikan bengkel besi di Pekan Tanah Merah di sini, sebagai lokasi bermain judi terup berjaya dibongkarkan pihak polis petang tadi.

Kegiatan mereka dibongkarkan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang diketuai Inspektor Mohd Nasrul Hakimi kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, seramai tujuh lelaki berusia lingkungan 45 hingga 66 tahun diberkas dalam sebuan tersebut.

Kamarulzaman Mamat

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati premis bengkel besi itu tidak beroperasi hari ini dan dijadikan sebagai lokasi pertaruhan judi terup oleh kenalan pemilik premis.

“Hasil soal siasat kesemua lelaki tempatan itu mengaku bertaruh RM200 bagi setiap satu pusingan.

“Dalam serbuan itu juga, pihak polis merampas satu set daun terup mengandung 52 keping kad serta wang tunai RM4,250 yang dipercayai hasil pertaruhan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Operasi tersebut turut disertai anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang.

Kesemua tujuh suspek direman bagi membantu siasatan.

Tambah Kamarulzaman, kesemua tujuh suspek itu turut dikompaun berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Kesemua suspek direman sehari dan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” kata beliau. – MalaysiaGazette