Home Nasional P. Pinang khuatir situasi pencemaran air mentah akibat KXP

P. Pinang khuatir situasi pencemaran air mentah akibat KXP

Datuk Jaseni Maidinsa

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendakwa khuatir dengan situasi pencemaran air mentah yang menimpa pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor akan berlaku di negeri itu.

Penduduk negeri itu mungkin berdepan dengan situasi sedemikian sekiranya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dikekalkan berhampiran tebing Sungai Muda. 

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, titik terdekat dari tapak projek yang dicadangkan terletak hanya enam kilometer ke hulu muka sauk air mentah Lahar Tiang Pulau Pinang di Seberang Perai.

Jelas beliau, lebih 80 peratus air mentah yang PBAPP abstrak untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang baik di Pulau Pinang setiap hari, datangnya dari muka sauk Lahar Tiang.

“Projek ini memberikan ancaman yang jelas terhadap kelestarian perkhidmatan bekalan air yang berterusan di Pulau Pinang dan Selatan Kedah, malah laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) menyatakan bahawa fasa pembinaan boleh menyebabkan pengelodakan, pemendapan, pencemaran air mentah, toksifikasi air sungai, penurunan kualiti air dan eutrofikasi.

“Kami bersimpati dengan kejadian menimpa penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor tetapi dalam masa sama kami tidak mahu menghadapi masalah sama di masa depan kerana KXP, aerotropolisnya atau projek pembangunan lain yang membahayakan perkhidmatan bekalan air yang baik. 

“Adalah tidak rasional bagi penduduk Pulau Pinang untuk menerima risiko dan ancaman bekalan air yang ditimbulkan oleh projek ini. Tiada siapa yang mahu air sisa disalurkan dengan sengaja ke sumber air mentah utama mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jaseni, kerajaan Pusat digesa tidak meluluskan projek pembangunan tanah baharu bersebelahan dengan Sungai Muda. 

Kata beliau, selain berusaha untuk menyelesaikan masalah pencemaran air mentah yang menjejaskan berjuta-juta pengguna air di Selangor dan Kuala Lumpur, Kerajaan Persekutuan juga perlu mengelak masalah seperti itu berlaku di Pulau Pinang dan Kedah.

“Untuk meminimumkan risiko berulang, semua tebing sungai sumber air mentah utama di Malaysia harus ditetapkan dengan jelas, dilindungi dan dikawal sebagai kawasan akses terhad.

“Sebagai langkah pencegahan tambahan, hukuman bagi pencemaran sumber air mentah perlu dikaji semula agar lebih ketat kerana implikasi jenayah itu boleh membahayakan kesihatan dan kesejahteraan berjuta-juta penduduk yang bergantung kepada bekalan air yang baik setiap hari,” kata Jaseni. – MalaysiaGazette