KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan mengemukakan saman fitnah terhadap sebuah badan bukan kerajaan (NGO) susulan dakwaan menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam kononnya sebagai ganti penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara (HSKLU).
PKPS berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat NGO terbabit menerusi temubual dengan sebuah stesen televisyen swasta pada 2 September lalu boleh merosakkan nama baik PKPS dan kerajaan negeri.
‘PKPS ingin menegaskan isu nyahwarta HSKLU tiada kaitan langsung dengan PKPS. Kami juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kenyataan berniat jahat dan subversif bagi merosakkan imej PKPS dan secara tidak langsung ingin mensabotaj inisiatif kerajaan negeri yang telah dirancang bagi kepentingan rakyat negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
PKPS turut menyifatkan kenyataan pihak terbabit sebagai mala fide serta mempunyai agenda tersendiri.
Tegasnya, pihak yang membuat dakwaan sepatutnya terlebih dahulu membuat laporan dan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri sebelum melemparkan tuduhan seperti itu.
“Justeru itu, bagi memastikan pemyebaran berita palsu seperti ini tidak berulang, PKPS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah terhadap pihak terbabit dalam masa terdekat kerana cubaan untuk merosakkan nama baik PKPS dan kerajaan dengan membuat tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas,” tambahnya. – MalaysiaGazette