Home Nasional BKC berita gembira kepada rakyat

BKC berita gembira kepada rakyat

Orang ramai mula beratur panjang bagi mendapatkan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) berikutan hari pertama kerajaan mengagihkan untuk membantu rakyat miskin tegar, B40, M40 dan bujang yang akan dibayar secara berperingkat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bank Simpanan Nasional (BSN), Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bantuan Khas Covid-19 (BKC) mula dikreditkan ke akaun bank penerima insentif itu secara berperingkat mulai hari ini sehingga 10 September depan.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, orang ramai yang ditemui rata-rata menyambut baik usaha kerajaan yang menyegerakan bayaran insentif itu ketika rakyat masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19.

Seorang pemandu teksi, Said Osman, 47, berkata, bantuan kewangan itu sangat dialu-alukan apatah lagi insentif itu kini lebih menyeluruh kepada lebih ramai penerima.

Said Osman. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2021.

“Bagi saya, bantuan itu sangat bagus terutamanya rakyat yang berpendapatan RM2,500 ke bawah termasuk seperti kami pemandu teksi pernah juga terima bantuan kerajaan sebelum ini.

“Cuma BKC belum merasa lagi, walaupun kita tak merasa tapi bagi yang dapat kita pun tumpang gembira, terima kasih banyak kepada kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi seorang suri rumah, Norzailiza Md Asli, 35, bantuan itu sedikit banyak dapat meringankan beban keluarga khususnya bagi mendapatkan barang keperluan asas.

Norzailiza Md Asli.Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2021.

“Sedikit sebanyak dapat membantu beli barang dapur dan bayar keperluan kemudahan asas. Sebelum ini Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dapat tapi dah buat rayuan tengah tunggu kelulusan,” katanya.

Meskipun jumlah BKC tidak sebanyak bantuan-bantuan lain sebelum ini namun dia bersyukur kerajaan prihatin dengan nasib rakyat.

“Bantuan RM250 rasanya memang tak cukup, bantuan sebelum ini lebih dari sekarang namun bolehlah untuk kurang beban sikit, kalau boleh biar lebih sikit,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Othman Mohd Saleh, 67, berharap kerajaan dapat meneruskan bantuan kewangan kepada rakyat dan tidak terhenti setakat BKC sahaja.

Othman Mohd Saleh.Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2021.

“Bantuan ini alhamdulillah, sepatutnya kerajaan ini perlu beri bantuan kepada rakyat berdepan dengan Covid-19 ini. Kerajaan harus teruskan bantuan ini lagi, kalau boleh tambah lagi bantuan untuk beberapa ratus lagi untuk rakyat dalam kesusahan sekarang ini,” katanya.

Bagaimanapun berbeza pula nasib seorang pemandu teksi, Mohd. Asri Kamaluddin, 43, yang mendakwa golongan sepertinya tersisih daripada bantuan BKC.

Mohd Asri Kamaluddin. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2021.

“BKC ini saya tak dapat, bantuan sebelum ini pun tak dapat, kalau BPR tak dapat, memang automatik saya tak dapat. Pemandu teksi ini bukan 100 peratus dapat, yang mana ada permit sendiri, yang berdaftar dengan SSM memang tak dapat sebab dah ada GKP Geran Khas Prihatin (GKP).

“Mana yang lain memang tak dapat, tak sementinya yang GKP ini ada duit, terkesan juga Covid-19.

“Kalau boleh BKC ini bagi kepada semua rakyat, jangan kecualikan, bila Covid-19 semua orang terkesan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kementerian Kewangan akan permudah urusan pengagihan BKC – PM