PONTIAN – Penerima bantuan Program Bina Rumah Ihsan Makmur Johor (RIMJ) bersyukur kerana impian memiliki rumah sendiri tercapai.
Salah seorang daripada penerimanya, Norkamala Lamasak, 42, menganggapnya sebagai satu hadiah teristimewa kepada dirinya dan keluarga.
Menurutnya, ketika ini tinggal bersama-sama ibu, anak serta anak saudaranya menyewa rumah di Kampung Sanglang.
Ibu tunggal berkenaan memberitahu, pendapatan hasil bekerja sendiri hanya cukup untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.
“Memang ada niat hendak duduk di rumah yang dibina di atas tanah keluarga tetapi oleh kerana kemampuan kewangan terbatas, niat terpaksa dipendam.
“Syukur alhamdulillah, tidak tergambar rasa gembira setelah 10 tahun menunggu. Mungkin sudah tertulis rezeki kami dalam tempoh Covid-19 ini.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Datuk Ir. Hasni Mohammad, kepimpinan daerah serta semua yang membantu merealisasikan impian kami sekeluarga,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar Johor ke kediamannya hari ini.
Seorang lagi penerima, Rohani Abd. Samad, 46, memberitahu penantiannya sejak beberapa tahun lalu kini tercapai apabila pimpinan kerajaan negeri merealisasikan hasratnya.
“Saya telah memohon bantuan untuk membina rumah atas tapak bersebelahan rumah ibu saya di Kampung Parit Ramunia, Mukim Sungai Pinggan beberapa tahun lalu.
“Terima kasih atas bantuan ini. Semoga Allah sahaja yang dapat membalasnya,” katanya.- MalaysiaGazette