Thursday, November 28, 2024
Home Sukan Otot terkoyak, saya terpaksa tarik diri lompatan kelima – Latif

Otot terkoyak, saya terpaksa tarik diri lompatan kelima – Latif

Atlet Paralimpik Malaysia, Abdul Latif Romly (kiri) dan Cheah Liek Hou (kanan) yang telah meraihkan pingat emas tiba selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Atlet para lompat jauh, Abdul Latif Romly memberitahu kecederaannya akibat tergelincir pada lompatan keempat dalam acara T20 dua hari lalu tidak serius.

Menurut penyumbang pingat emas ketiga negara itu, pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020, kecederaan yang dialami itu hanya sementara namun masih menyukarkannya untuk berjalan.

“Ada koyakan berlaku di bahagian otot tapi rasanya akan pulih dalam sedikit masa lagi. Buat masa ini memang terasa sakit bila bergerak atau cuba berjalan,” katanya pada sidang media selepas tiba dengan berkerusi roda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang petang tadi.

Atlet Paralimpik Malaysia, Abdul Latif Romly menunjukkan pingat emas sebaik tiba selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara Lompat Jauh kategori T20 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2021.
Turut diraikan adalah jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou yang melakar sejarah apabila merangkul pingat emas sukan itu bagi kategori SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Abdul Latif menyatakan dirinya tidak dapat menamatkan lompatan di temasya besar Paralimpik selepas terpaksa menarik diri pada lompatan kelima akibat kecederaan tersebut.

Atlet Paralimpik Malaysia, Abdul Latif Romly (kiri) dan Cheah Liek Hou yang telah meraihkan pingat emas tiba selepas beraksi pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2021.

Sejurus selesai menjalani tempoh kuarantin, atlet berusia 24 tahun itu berhasrat terus pulang ke Perlis bagi menemui keluarganya yang sekian lama tidak bersua.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan jitu rakyat Malaysia selain keluarga dan juga agensi sukan yang terbabit dalam menjayakan misinya memburu pingat pada temasya yang berakhir semalam.

Abdul Latif merupakan atlet negara pertama berjaya memenangi imbuhan terbesar bagi atlet negara iaitu sebanyak dua kali selepas merangkul pingat emas di sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Abdul Latif menang pingat emas ketiga negara