KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memerangi masalah pengangguran dengan dasar tuntas tanpa mengharapkan sektor swasta sahaja yang mencipta pekerjaaan.
Sebaliknya, kerajaan disyorkan untuk melaksanakan skim jaminan pekerjaan yang mana dalam jangka pendek dan sederhaa kerajaan melaksanakan peranan dengan menyedia dan membiaya peluang pekerjaan yang sepatutnya.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, bantuan kecemasan tunai yang diberikan semasa pandemik adalah senjata utama yang sementara sahaja.
Apabila kerajaan mahu beralih ke fasa endemik, ia bermakna rakyat akan hidup bersama Covid-19 dalam tempoh yang lama lagi.
Ini juga bermakna strategi pengukuhan ekonomi makro dan ekonomi rakyat mesti lebih menyeluruh.
”Sampai bila hendak bergantung hanya kepada tunai dan keluaran KWSP yang jumlah simpanannya pun semakin mengecil. 4.5 juta pencarum KWSP ada kurang RM5,000. Selesai selesai i-Citra, tidak mustahil lebih sejuta tinggal hampir RM0,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau yang mengalu-alukan usaha menyegerakan agihan Bantuan Khas Covid percaya kerajaan juga sedar bahawa bantuan tunai semata-mata tidak memadai.
Untuk merancakkan ekonomi, kerajaan mesti tampil dengan idea-idea yang berbeza daripada sebelum ini.
Apatah lagi, lebih 750,000 orang menganggur dan kebanyakannya orang muda.
Katanya, golongan ini tidak menolak wang tunai ataupun kampit beras, tetapi mereka lebih mahu peluang kerja dan peluang berniaga.
Orang muda di Malaysia amat komited serta bersemangat dan pada mereka, tiada ganti kepada konsep menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.
Selain itu, sebarang usaha menjana aktiviti perniagaan harus dilaksana segera seperti mempermudah birokrasi yang mengekang peniaga dan penjaja melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seluruh negara. – MalaysiaGazette