Home Sukan Piala Dunia Qatar: FIFA kecewa pembatalan aksi kelayakan Brazil-Argentina

Piala Dunia Qatar: FIFA kecewa pembatalan aksi kelayakan Brazil-Argentina

FIFA menerima laporan rasmi mengenai insiden pembatalan aksi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 antara Brazil dan Argentina pada Ahad lalu.Foto Kredit: REUTERS/Arnd Wiegmann

LONDON – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyatakan kekecewaannya berikutan pembatalan aksi pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 antara Brazil dan Argentina Ahad lalu.

Menurut badan kawal selia bola sepak sedunia itu, insiden luar jangkaan itu telah menyebabkan jutaan peminat bola sepak peringkat global dihalang daripada berhibur.

Aksi kelayakan yang sepatutnya berlangsung Ahad lalu digantung selepas pegawai kesihatan Brazil memasuki padang perlawanan dan menghalang perlawanan itu atas dakwaan empat pemain Argentina mengingkar peraturan kuarantin Covid-19.

FIFA dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan pertama daripada penganjurnya yang kini sedang dinilai dan dianalisis oleh badan disiplin.

Setakat ini tiada tarikh baharu diumumkan untuk mengadakan semula perlawanan yang dibatalkan itu.

Pihak berkuasa kesihatan Brazil mendakwa empat pemain kelab England yang bermain untuk Argentina wajib dikuarantin segera.

Empat pemain Argentina yang dimaksudkan adalah Emiliano Buendia dan Emiliano Martinez dari Aston Villa, serta Giovani lo Celso dan Cristian Romero dari kelab Tottenham Hotspur.

Persatuan Bola Sepak Argentina pada Isnin berkata, kesemua empat pemain itu akan kembali ke kelab mereka, tetapi disebabkan peraturan kuarantin di United Kingdom mereka akan terlepas aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.

“FIFA sangat kesal dengan insiden yang mengakibatkan pembatalan aksi kelayakan antara Brazil dan Argentina yang menyekat jutaan peminatnya dari seluruh dunia tak dapat menonton dan terhibur.

“Laporan pertama pengajur perlawanan telah diterima oleh FIFA dan ia sedang dianalisa oleh badan disiplin untuk menentukan tindakan selanjutnya,” kata FIFA dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, Polis Persekutuan Brazil menjelaskan pihaknya telah membuka inkuiri rasmi selepas empat pemain Argentina dituduh mengingkar peraturan kuarantin.

Peraturan Brazil menyebut pelawat yang pernah ke United Kingdom pada 14 hari yang terakhir wajib kuarantin diri untuk 14 hari sewaktu ketibaannya.

“Kami boleh sahkan bahawa siasatan telah dimulakan dari sudut wujud unsur jenayah penyaluran maklumat palsu dalam insiden ini.

“Semalam empat pemain yang didakwa melanggar peraturan kuarantin telah dimaklumkan mereka perlu meninggalkan negara ini serta-merta dan kenyataan percakapan telah dirakam daripada mereka,” kata jurucakap Brazil.- BBC Sport.com