JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengagihkan sebanyak 7,345 bakul makanan kepada keluarga memerlukan di seluruh negeri ini sehingga akhir bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, bakul makanan itu disalurkan dalam tempoh Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan peruntukan RM3 juta.
“Bantuan ini disalurkan melalui Pejabat MAINJ di daerah dan juga melalui amil-amil agihan zakat di setiap mukim. Bagi memudahan masyarakat awam membuat permohonan bantuan ini, MAINJ juga menyediakan talian hotline di peringkat ibu pejabat dan seterusnyanya tindakan bantuan ini akan dilaksanakan di pe Agama Islam Daerah.
“Sehingga kini 31 Ogos 2021 sebanyak 7,345 jumlah bakul makanan yang telah disalurkan di seluruh negeri Johor. Bagi memperluaskan lagi agihan wang zakat untuk membantu mereka yang terjejas dan terputus bekalan makanan dalam PKP 3.0,” berkata demikian ketika menjawab soalan Md Ysahrudin Kusni (PKR-Bukit Naning) pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.
Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, MAINJ juga telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM3.53 juta, bagi memperluaskan lagi agihan wang zakat untuk membantu golongan terjejas dan terputus bekalan makanan ketika PPN Fasa Pertama.
Beliau berkata, sebanyak RM1.7 juta daripada jumlah itu telah disalurkan kepada 341 Gerobok Rezeki di masjid dan surau seluruh negeri ini dengan nilai RM5,000 setiap lokasi.
“Sumbangan kewangan RM1.6 juta pula disalurkan kepada masjid dan surau yang terjejas di Johor bertujuan membantu pengimarahan masjid dan surau yang terjejas terutama bagi menampung keperluan bil utiliti.
“Sumbangan RM230,000.00 kepada Pejabat Daerah di seluruh Johor untuk tujuan Gerobok Rezeki,” katanya.
Jelas beliau, kesemua sumbangan yang dilaksanakan, berjalan setiap hari dan MAINJ komited dalam membantu masyarakat yang terjejas disebabkan PKP 3.0 ini. – MalaysiaGazette