SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat didenda RM35,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membuat tuntutan palsu melibatkan perolehan kerajaan, empat tahun lalu.
Tertuduh, Norehan Mat Yusof, 43, berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pilihan, pada 28 September 2017 di Pusat Hidrografi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah, Pelabuhan Klang, tertuduh telah memberikan dengan niat memperdayakan seorang anggota TLDM berpangkat Leftenan Komander suatu dokumen iaitu invois syarikat ANQ Sdn Bhd bagi pembekalan barang habis pesanan kerajaan berjumlah RM93,685.30 mengandungi butir matan yang palsu.
Dokumen itu mengenai pembekalan dan penghantaran barang pakai habis untuk Pusat Pencetakan, Pusat Hidrografi Nasional TLDM yang mana sebenarnya barang-barang berupa Black CE270A, Cyan CE271A, Magenta 273A dan Yellow CE27A berjumlah RM57,600 tidak dibekalkan yang mana tertuduh ketahui sebagai suatu dokumen palsu.
Kes itu disiasat mengikut Sekysen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noryusriza Zulkifli meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat tentang kesan buruk amalan rasuah.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Sharen Rosli memohon mahkamah mengenakan denda serendah mungkin kerana anak guamnya sudah mengaku bersalah dan sudah menyesal atas perbuatan itu.
Jumlah denda seminimum mungkin perlu diberikan susulan pendapatan tertuduh tidak menentu yang kini bekerja sebagai juru jual di pasaraya di sini yang bergantung kepada jumlah komisen.
Peguam juga memohon mahkamah tidak memenjarakan tertuduh kerana Norehan mempunyai tujuh anak yang masih belajar dan perlu menanggung adik ipar yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU).
Setelah mempertimbangkan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Rozilah membenarkan tertuduh tidak dikenakan hukuman penjara dan dikenakan denda RM35,000 dan jika gagal boleh dipenjara tiga bulan. – MalaysiaGazette