Home Sukan Johor berharap SUKMA diteruskan tahun depan

Johor berharap SUKMA diteruskan tahun depan

Datuk Onn Hafiz Ghazi.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan  Johor masih menunggu keputusan sama ada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 yang dibatalkan akibat Covid-19 boleh dianjurkan pada tahun depan.

Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan berkenaan dijangka akan diputuskan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dalam masa terdekat.

“Kita sememangnya bersedia menjadi tuan rumah SUKMA tahun depan selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini akibat wabak Covid-19.

“Semua venue acara SUKMA di Johor sudah siap 100 peratus. Malah kerajaan Johor memperuntukan sebanyak RM4.2 juta bagi menyelenggara kemudahan dan venue SUKMA di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning (PKR), Md. Ysahrudin Kusni  pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 hari ini.

Sebelum itu, Covid-19 mengakibatkan SUKMA yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 6 Mac hingga 14 Mac 2021 manakala Para SUKMA pula pada 5 hingga 10 April lalu terpaksa dibatalkan.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang ketika itu menjawat jawatan berkenaan pada November tahun lalu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

Pembatalan itu, menurut  Onn Hafiz dibuat selepas kerajaan Johor memohon supaya SUKMA dan Para SUKMA dibatalkan berikutan  ketidaktentuan situasi berikutan penularan wabak berkenaan.- MalaysiaGazette