Home Nasional PLUS tawar rebat, laksana TTA cuti merdeka

PLUS tawar rebat, laksana TTA cuti merdeka

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sehingga 30 peratus sempena cuti Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Rebat tol 30 peratus tersebut ditawarkan sepanjang hari selama dua hari iaitu pada 29 Ogos dan 4 September.

Pengarah Urusan, Datuk Azman Ismail berkata, ia merupakan sebahagian daripada langkah PLUS untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan dan pada masa yang sama, menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan lebuh raya PLUS.

Menurutnya, pengguna kad Touch ‘n Go pula berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 10 peratus pada tarikh-tarikh tersebut.

“Penawaran rebat 30 peratus untuk transaksi menerusi kad PLUSMiles adalah untuk menghargai kesetiaan dan sokongan pemegang kad PLUSMiles. Manakala, rebat 10 peratus tersebut diberikan untuk semua transaksi elektronik lain di lebuh raya PLUS,” katanya di sini.

Rebat tol pada kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi) melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS.

Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa dan rebat tol 30 peratus dan 10 peratus tersebut akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go (dalam bentuk tambah nilai) apabila orang ramai menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 September hingga 14 Disember yang akan datang.

Rebat ini tidak meliputi transaksi tol di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

PLUS juga mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha iaitu di antara 25 Ogos hingga 4 September ini.

TTA merupakan pendekatan PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat.

Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memulakan perjalanan dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 10 pagi.
Manakala, orang ramai yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.

“Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke lain-lain negeri di Perak (Tengah), Perak (Selatan), Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka di lebuh raya.

“Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke kampung halaman dengan lebih lancar,” katanya.

“Lonjakan jumlah kenderaan di lokasi dan pada masa yang sama sering menyumbang kepada kesesakan lalulintas pada musim perayaan dan waktu-waktu puncak,” katanya.

PLUS menjangkakan sebanyak 1.7 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan cuti Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa. – MalaysiaGazette