TAWAU – Mengambilkira kelewatan proses pembinaan bangunan Hospital Tawau baharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan untuk membina sebuah hospital medan di daerah itu.
Cadangan tapak hospital medan itu terletak di sebuah lapangan terbang lama yang terletak di Jalan Utara di sini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, keputusan berkenaan cadangan itu akan dibuat dalam masa yang terdekat.
Ujarnya, hospital itu bukan sahaja akan dapat membantu merawat pesakit Covid-19 dalam masa yang sama akan dapat membantu kapasiti rawatan lain yang tertangguh akibat pandemik.
“Sekarang ada banyak kes tertangguh disebabkan Covid-19, banyak kes pembedahan dan rawatan tertangguh, jadi dengan adanya hospital medan ini sambil kita menunggu hospital baharu siap ia akan membantu kita untuk menyelesaikan banyak perkara tertangguh di Tawau yang tidak dapat dirawat atau dibedah disebabkan kekangan yang dihadapi sewaktu Covid-19.
“Jadi, kita akan buat keputusan dalam masa yang terdekat, saya pun telah maklumkan kepada Ketua Menteri (Datuk Hajiji Noor) semalam bahawa hari ini saya akan datang ke tapak ini.
“Saya melihat hospital medan ini ideanya sangat baik kita boleh guna untuk Covid-19 atau pun untuk menampung kapasiti yang diperlukan samping kita menunggu hospital baharu Tawau siap mungkin tahun depan,” ujarnya ketika ditemui di tapak cadangan Hospital Medan, di Jalan Utara hari ini.
Untuk rekod, sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang terletak di Kompleks Sukan di sini telah tamat beroperasi sejak Januari lalu.
Sementara itu, menurut Khairy, pembinaan projek pembinaan Hospital Tawau yang baharu kini siap 61 peratus.
Menurutnya, tempoh pembinaan yang dijadualkan siap pada April tahun depan mungkin terpaksa dilanjutkan kerana kekangan bahan binaan dan pekerja yang dihadapi oleh kontraktor disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelas Khairy, Hospital Tawau baharu yang bakal dinaiktaraf diperlukan demi menampung kapasiti hospital sedia ada dan dalam masa yang sama bakal dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan perubatan lain.
“Tetapi hospital itu (baharu) sangat diperlukan disebabkan kapasiti di hospital yang lama sudah tidak mencukupi dan kita juga memerlukan beberapa peralatan dan kemudahan yang baharu, contohnya di hospital baharu kita akan ada mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) bukan hanya Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan) yang akan membantu diognistik dan juga penambahan dewan-dewan pembedahan dan wad-wad.
“Ini sangat diperlukan kerana saya melihat di Pantai Timur, Sabah ini banyak kes terpaksa dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dengan adanya kemudahan-kemudahan tahan di Hospital Tawau baharu ini saya percaya dan yakin ramai lagi dapat dirawat di sini,” ujarnya. – MalaysiaGazette