KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu dalam ciapannya di laman Twitter hari ini bertanya bilakah gimnasium dan sukan padang boleh dibenarkan beroperasi semula.
Beliau membuat pautan ciapannya itu kepada Kementerian Kesihatan yang menterinya adalah Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Katanya, gimnasium dan sukan padang mungkin perlu dibenarkan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Beliau berkata: “Ramai yg hampir terhenti nafas. Tolonglah @KKMPutrajaya”
Sementara itu warga net yang mengikuti ciapan itu masing-masing membuat ulasan bahawa perkara itu tidak perlu dibangkitkan di media sosial kerana Ahmad Faizal kini menyandang jawatan menteri.
Kata mereka, perkara itu sepatutnya dibincangkan dalam kalangan menteri.
Ada juga yang ‘menasihatkan’ Menteri Belia dan Sukan itu supaya ‘gegar’ Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya cadangan pembukaan gimnasium dan kebenaran aktiviti sukan padang dapat dilaksanakan.
Dalam satu lagi ciapan, Ahmad Faizal berkata, KBS telah pun mencadangkan agar sukan padang (outdoor sports) dan gimnasium dibuka.
Bagaimanapun, katanya, kuasa ada pada MKN dan berharap KKM juga akan menyokong cadangan tersebut. – MalaysiaGazette