SERI KEMBANGAN – Seorang wanita tempatan bakal diheret ke mahkamah esok atas dakwaan membuat laporan polis palsu mengenai kejadian ragut yang tidak pernah berlaku.
Wanita didapati menipu untuk menutup kecuaiannya yang telah menghilangkan kad pengenalannya bagi mengelak didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara bagi permohonan MyKad baharu.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, polis menerima satu laporan polis daripada seorang wanita tempatan itu pada 6 September lalu.
Katanya, dalam aduan berkenaan wanita itu mendakwa dia telah diragut selepas membeli makananan di tepi jalan oleh seorang suspek lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.
“Kejadian didakwa berlaku di Jalan Bandar 8, Pusat Bandar Puchong Isnin lalu.
“Pegawai penyiasat kemudian telah membuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut namun hasil siasatan mendedahkan wanita itu rupa-rupanya membuat laporan polis palsu kononnya dia menjadi mangsa ragut,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Menurut Anbalagan, kertas siasatan telah dilengkapkan dan polis telah mendapat arahan memnuduh wanita berkenaan di Mahkamah Petaling Jaya esok.
Wanita itu akan dibawa dan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anbalagan berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat laporan polis palsu.
Beliau memaklumkan IPD Serdang telah menerima 14 laporan palsu berkaitan jenayah samun dan ragut bagi sejak Januari 2021.
Kebanyakan mereka yang membuat laporan palsu itu mendakwa menjadi mangsa samun dan ragut, namun selepas siasatan lanjut dijalankan mendapati kad pengenalan mereka hilang atas kecuaian diri mereka sendiri.
“Hasil siasatan lanjut kami mendapati, mereka (pengadu) mengambil jalan pintas membuat laporan polis supaya mereka dapat mengelak daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara atas kecuaian diri menghilangkan MyKad dan tindakan mereka ini didapati tidak bertanggungjawab.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” tegasnya. – MalaysiaGazette