KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah menganggap penyerang muda, Azhad Harraz Arman sebagai prospek besar negara pada masa akan datang yang perlu diambil perhatian selepas mempamerkan aksi memberangsangkan bersama pasukan musim ini.
Pada saat Skuad Projek FAM-MSN sedang bergelut dalam pentas Liga Premier, Azhad berjaya mencuri tumpuan dengan penampilannya bersama pasukan dan setakat ini telah meledak lapan gol dalam 18 perlawanan, sekali gus dilabel antara pemain muda berpotensi besar.
Jelasnya, apa yang telah dilakukan oleh pemain berusia 18 tahun ini terutamanya bersaing bersama majoriti pemain-pemain lebih berpengalaman di Liga Premier membuktikan dia mampu untuk menyerlah sekiranya diberi peluang di landasan yang tepat demi kariernya.
Bagaimanapun, Yusri tetap merasakan Azhad masih lagi ada kelemahan dan kekurangan yang harus diperbaiki mengambil kira ciri-ciri seorang penyerang yang benar-benar berkualiti.
“Jika dilihat pada usia muda 18 tahun, Azhad telah melakukan sesuatu yang cukup bagus bersama pasukan dan seharusnya beliau perlu diberi masa dan minit permainan yang lebih untuk mengembangkan lagi bakatnya.
“Dia memiliki ciri-ciri seorang penyerang yang kita nak, tetapi dia masih muda dan sudah tentu banyak kelemahan lagi yang perlu dia perbaiki.
“Bagi saya, dia memang antara prospek yang baik selepas kita juga pernah memilik nama-nama lain seperti contoh Luqman Hakim Shamsuddin dan ramai lagi prospek muda.
“Saya percaya dia akan lebih berjaya seandainya terus bekerja keras sepertimana yang dia lakukan sekarang bersama pasukan”, katanya.
Bercakap mengenai pasukan, mereka masih perlu mengharungi dua lagi baki perlawanan apabila bakal berdepan Perak FC II dan Kuching City FC.
Meskipun kini berada di tangga tercorot, Yusri mengharapkan barisan pemain tetap berjuang dalam dua perlawanan ini untuk sekurang-kurangnya tidak bolos dengan jumlah jaringan yang besar.
“Saya harap akan ada tanda positif untuk pasukan kita dalam baki dua perlawanan ini.
“Kalau kita bandingkan prestasi di pusingan pertama liga, kita dapat lihat bagaimana kita sering bocor di gawang dengan gol yang banyak.
“Tetapi perubahan positif boleh dilihat apabila di pusingan kedua dan harapnya benda-benda positif ini akan terus memotivasikan pemain untuk memberikan yang terbaik dalam dua perlawanan ini”, tambahnya.
Skuad Projek FAM-MSN akan menentang Perak FC II pada Jumaat ini manakala aksi terakhir mereka menentang Kuching City FC pada Selasa depan. – MalaysiaGazette