Home Nasional PSR batal: Kerajaan DAP pertimbang tindakan undang-undang

PSR batal: Kerajaan DAP pertimbang tindakan undang-undang

Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbang tindakan undang-undang menerusi permohonan semakan kehakiman (judicial review) ke atas keputusan Lembaga Rayuan susulan pembatalan kelulusan bagi laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, pertimbangan itu dilakukan sementara mendapat salinan rasmi perintah Lembaga Rayuan secara bertulis berhubung pembatalan tersebut.

“Kerajaan Negeri juga akan mempertimbang tindakan lain termasuk mengemukakan satu laporan EIA yang dikemaskini semula berdasarkan kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan berkenaan.

“Kita mengambil maklum laporan berita berhubung keputusan Lembaga Rayuan yang dibuat dengan kuasa-kuasanya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membatalkan kelulusan bagi laporan EIA bagi PSR itu.

“Keputusan itu diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar atas alasan teknikal tidak memenuhi kehendak Seksyen 34A(4)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Projek PSR Pulau Pinang dibatalkan

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan  Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini memutuskan mengetepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek Tambakan Laut Selatan (PSR) di negeri ini. 

Ini sekali gus menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 terbatal. 

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mazlin Mokhtar dan Prof Madya Dr. Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia). – MalaysiaGazette